Pantulan 77/15: Dilema?
Salah sebuah buku terbaru tentang Hang Tuah yang kulihat di Ekspo Buku petang tadi berjudul “Hang Tuah Wira Bangsa”. Dan banyak lagi buku lain tentang Hang Tuah kebelakangan ini, seperti Hang Tuah, Catatan Okinawa, Hikayat Hang Tuah yang diselenggarakan oleh Siti Hawa Salleh, semuanya memberi isyarat bahawa Hang Tuah tetap hidup segar dalam minda masyarakat. Kemudian, saya teringat membaca senaskah lama Dewan Masyarakat, yang melaporkan seorang pemimpin besar negara mengatakan, untuk maju pada zaman ini, Hang Tuah dan Hang Jebat tidak sesuai diikuti lagi. Semuanya ini, termasuk pandangan Kassim Ahmad semasa menyiapkan tesisnya dan selepas itu, edisi baru Hikayat Hang Tuah pada tahun-tahun 1960-an, menjadikan seseorang harus berhati-hati untuk memahat pendirian tentang ketokohan dua watak yang tersangat kontroversial ini. Tetapi sudahlah jelas bahawa, penyair Ahmad Sarju, melalui “Anak Zaman Penuh Azam”, Dewan Bahasa, Januari 1968, muka surat 31, telah bertekad untuk mendukung Hang Jebat ketika “Bangun mengusir sipenderhaka”.
Aku kira apa yang wajar dilakukan sebelum menetapkan pendirian ialah memahami situasi dunia ‘perkhidmatan’. Sudah menjadi kemestian bahawa sebagai penjawat seseorang ada sumpah yang mengikat. Dengan sumpah atau ikrar itulah dia memikul tanggungjawab, berbakti dan berjasa. Beliau tidak boleh ingkar daripada melaksanakan perintah jika itulah yang menjadi keutamaan, yang menentukan kelangsungan organisasi yang didokongi. Memanglah ada pembenturan antara peribadi dengan organisasi dalam setengah-setengah kerja yang diserahkan. Tetapi organisasi yang baik ada kod-kod etikanya. Apabila kedudukan perintah atau tanggungjawab yang perlu dilaksanakan itu tidak sama sekali bertentangan dengan kod organisasi yang mengikat para warganya maka hilanglah asas untuk tidak mematuhi. Dalam keadaan demikian, individu yang tidak bersedia mengorbankan pendirian peribadi hendaklah berundur secara yang wajar. Sambil dia tidak bersedia menyokong pendirian pihak lain, tentulah pada masa yang sama, pihak yang lain itu, tidak semestinya sependapat dengannya. Masing-masing ada asas-asas yang kuat untuk tidak mengalih prinsip yang dipegang. Dalam situasi serba salah, ‘ditelan mati emak, diluah mati bapa” tentulah ada kaedah penyelesaian yang terbaik. Dan, penyelesaian itu adalah yang kena pada tempatnya.
Dalam perjuangan yang bermatlamat mencapai kesejahteraan ramai adalah wajar jika suara ramai menduduki tempat terunggul. Maknanya, asalkan perjuangan adalah berasaskan kebenaran yang mendapat dokongan paling ramai, kelompok yang lebih kecil seharusnya akur. Sekurang-kurangnya untuk sementara waktu. Penyuaraan pandangan yang bertentangan tidaklah pula dihalang. Apabila keputusan telah dibuat secara yang sah, pandangan pinggiran harus terketepi. Ertinya, yang terakhir harus berlaku ialah pengakuran kumpulan lebih kecil terhadap kumpulan yang lebih besar apabila masanya sudah tiba, tidak dapat dielak atau ditangguhkan lagi. Maka, perjuangan, dari mana-mana pihak pun boleh berterusan tanpa mencetuskan kekeruhan, kegawatan, kegentingan, kehuru-haraan, kemusnahan, kepupusan, yang tiada siapa pun memperolehi faedahnya.
No comments:
Post a Comment