Pantulan 65/15: Menangguk faedah
Impresi tertanam di hati selepas mengusap jiwa lara Solihin Osman, lewat sajak beliau “Menjadi Rumput”, Dewan Sastera, Jun 2008, muka surat 99. Kesan itu adalah murni, bergembleng simpati. Malang yang menghimpit orang-orang kecil lazimnya menjadi tanggungan empunya peribadi. Atau, segelintir orang lain yang berhubungan darah. Amatlah luar biasa orang banyak mengambil kisah penderitaan, keterbiaran, penyisihan yang membaluti penanggung beban sungguhpun ada juga bukan suku-sakat yang seikhlas hati bersimpati atau membantu sejati. Namun, pada masa yang sama ada pula terkecuali kerana mereka ghalibnya “memijak keikhlasan”, berkepentingan.
Tetapi keadilan sewajarnya membahagiakan – kepada orang yang diletakkan pada tempat yang terhak, berasaskan meritnya. Pun, usahlah terkejut kalau orang yang selama ini tidak menghiraukan, tidak simpati, jauh lagi membantu tiba-tiba datang mengerumuni, memuji, menyanjung demi mengharapkan habuan. Manusia bersifat kemanusiaan dan kerana itu sejarah merakamkan pentamadunan yang diporakperandakan zaman berzaman. Tentu demikian bukan suatu keanehan! Itu adalah hakikat yang sudah terakam, dalam tinta emas atau arang hitam legam. Kekurangan dan kelemahan yang lebih menjolok ini yang menjadikan individu-individu saling ganti-berganti melakukan apa sahaja yang mereka hendak lakukan, mengikut naluri, sedangkan mereka ada pilihan; berbuat kebajikan, bukan samasekali berniat memanfaati diri peribadi.
No comments:
Post a Comment