Pantulan 57/15: Allahu Akbar, Allah Maha Besar
Alhamdulillah, bersyukur kulalui lembaran-lembaran bermadu bersirat ilmu sepagi ini. Daripada 12 sajak yang tersiar di ruangan “Puisi Pilihan” “Karyawan Bulan Ini”, Malim Ghozali Pk, yang berjudul “Malam Bening di Muzdalifah”, Dewan Sastera, Februari 2007, muka surat 15, kupilih, sempena musim manusia berbondong-bondongan menuju Tanah Suci sekarang. Dan aku bertumpu kepada kalimat mengimbau nostalgia, “lihatlah, ada malaikat tersenyum//saksi langkah pasrah”. Tentulah ini adunan merakam pengalaman peribadi sahabatku setelah hadir sendiri menunaikan Rukun Islam kelima. Fenomena keramaian yang anehnya mengilhami - oleh kekudusan ingatan terhadap Tuhan Sarwa Alam. Kita terbangkit dari alpa yang berganja, oleh kesedaran tentang kebergantungan kita kepada Yang Maha Esa. Dengan pengetahuan, ilmu, walau sedikit, jangan kita aggap tidak berbangkit satu desakan menganalisis prestasi sendiri setakat usia semasa. Di situ. Ke”bening”an, apalagi di tanah-tanah Anbia, tidak pernah gagal mencetuskan kesedaran dalam diri lantas membelokkan kita ke hala jalan sebenar, jalan pulang, jalan lurus. Maka anggaran timbangan yang ringan di neraca mendorong tolakan sakti memuncak dengan pengakuan tentang kehinaan diri. Sesungguhnya, reputasi, darjat di dunia hanyalah isyarat menguja pemikiran bermaknawi. Namun, ia tidak menjanjikan ganjaran setimpal kemudian, selagi pencapaian itu tidak diuli sebati dengan kepentingan ukhrawi.
Pengalamanku di Muzdalifah, mengukuhkan kepercayaan bahawa Allah-lah yang mengeluarkan kita dari ‘kesesatan’ apabila puas kamu berusaha menerokai jalan kembali. Dia berkuasa sekelip mata mencelikkan sebaik berdoa agar dikabulkan, dikurniai pencerahan. Dan, pada peristiwa lain, pada saat-saat akhir pun, jangan berputus asa, sebab penyelesaian tetap ada, bahkan sambil itu diperingankan pula, lalu tiada lagi bebanan mendera kehadiran ketika itu dan kemudiannya jua. Ya, aku mengalami sendiri. Terlepas, bebas dan puas. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar .
No comments:
Post a Comment