Pantulan 68/15: Menuntutlah
Lebih banyak tak kufahami berbanding yang difahami hasil meneliti siratan mutiara fikir Norhisham Mustafa, berupa sajak beliau, “Nur, Jangan Kelirukan Nur”, Karya, Bil. 4, Januari 1998, muka surat 43. Ini perlu awal-awal kuisytiharkan. Anehnya, kejahilan yang diakui, tidak mengetepikan hajat memahami sebahagian sajak yang terjangkau minda. Bahagian (i) dan (ii) tak diusik. (Kusedari, setakat pembacaan singkat bukan pendekatan menerjuni subjek ‘nur’ ini). Maka, tinggal yang ke (iii) peluang menumpu kerana ada perutusan yang wajar dijelirakan. Terseru oleh kesamaran, menguja pengkajian berterusan.
Hakikatnya, kita perlu mengenal Allah dan Pesuruhnya – sebenar-sebenar mengenali, bukan berpegang ikut-ikutan, melakukan setakat yang nampak di mata, yang tradisi, yang tidak sejati. Agar semua yang telah dilakukan, tidak berkurangan pahala, menjadi sia-sia amalan bahkan berdosa. Maka menambahkan ilmu adalah wajar (kerana wajib) sebab itulah kelak jadi pertimbangan ukhrawi (selain telah terbukti sekarang ini di bumi pun). Tidak ada pasang surut dalam beribadat untuk menuju akhirat. Seharusnya aku berterusan menepati seruan, meningkatkan pemurnian serba-serbi. Barangkali pentakwaan diri, menuntut kejatian fahaman dan sesungguhnya ilmu yang dangkal bukan sandaran untuk mengadap Tuhan. Maknanya, kita benar-benar tercabar menuju jalan pulang. Sesungguhnya kita terlalu kekurangan. Jadi kurumuskan, menyedari kecetekan akal merintis pengilmuan tidak berhenti-henti.
Dan kepada temanku karyawan, kuluahkan; Ada faedah bermadah sambil berdakwah.
No comments:
Post a Comment