Pantulan 44/15: Kerdil
Dalam musim berbondongan penganut menaiki pesawat penerbangan menuju Kaabah, melintasi lagi sajian analisis murni pengalaman peribadi teman fbku, Wan A. Rafar (WanRafar Ishak) ketika ber“Wuquf” di Padang Arafah (Lihat, Dewan Bahasa dan Pustaka, “Cakerawala” (Puisi-puisi Hadiah Sastera Malaysia 1982-1983), 1986, cetakan pertama, muka surat 59). Katanya, rukun Wukuf itu adalah “… diadun dari niat/… bertolak dari sejarah.” Ternyatalah di“padang yang luas ini”, dosa-dosa yang berceretetan terhimpun lantas terampun melalui “… seribu rahmat” yang disampaikan melalui “seribu malaikat”. Sungguh, di sini, manusia begitu menyedari kekerdilannya dan menginsafi itu tiadalah mereka melakukan yang lain kecuali menengadah dan menadah tangan ber“doa yang menitis dari kekecilan diri.” Benarlah bahawa tiada lain yang dihajati kecuali redha Rabbul Alamin.
Kalau kita menyaksikan, lautan kemah rapi teratur terpasang sejauh pandangan mata di Padang Arafah, dibanjiri para jemaah yang datang dari seluruh pelusuk dunia, tanpa mengirakan kedudukan sementara masing-masing, tentulah terakam sebati di hati bahawa cita-cita manusia tiadalah berbeda secara hakiki. Diakui mereka, tiada yang berkuasa paling mengungguli, kecuali sanya Ilahi. Dialah yang menentukan apa pun juga. Manusia yang menghuni dunia ini tidak akan terlepas bebas merembas nafsu buas sebab mereka sebenarnya diawasi semenjak asali. Pangkat dan darjat yang melekat tidak selamanya terhak. Lambat laun dia akan kembali mengadap Pemerintah Alam ini seada-adanya. Dan tanpa kesuci-murnian peribadi dan pengimarahan di bumi, dia pasti kecundang menggarap kemenangan ketika Hari Penghakiman. Kemudian, tergolonglah ia sebagai manusia yang rugi. Lalu, yang sentiasa dianjurkan sedang kita berpeluang ialah memperteguh ketakwaan sejati. Ialah menjamin keselamatan diri di Akhirat sebagai tersurat.
No comments:
Post a Comment