Tuesday, 29 December 2015

Pantulan 39/15: Sajak Sahrunizam Abdul Talib, “Titah Perut”

Pantulan 39/15: Kehancuran
Kupilih sajak yang terpendek sahabat fbku yang belum pernah kusentuh,Sahrunizam Abdul Talib, tersiar dalam Dewan Sastera, Disember 2003, berjudul “Titah Perut”, (muka surat 98). Karya-karya puisi (enam buah) beliau diberi penghormatan mengisi “Persada Puisi”. Yang satu ini adalah sajak bak ‘cili padi’, tak sampai dua inci, tetapi berlumuran ngeri oleh penyalahgunaan kuasa pemegang tampuk di kedudukan tinggi.
Aku telah lama dilatih bertanggungjawab. Semasa kecil, di rumah bersama-sama adik beradik setiap minggu masuk ke hutan mencari kayu api agar masakan ibu tidak tergendala. Apabila bersekolah, diberi jawatan ketua murid dan teringat ketika Hari Ibubapa menyampaikan ucapan di depan khalayak. Ketika di sekolah menengah diberi tanggungjawab sidang pengarang buletin berkala sekolah, “Penyu”.… … Dengan latihan seperti itu, tertanam satu kesedaran tata kaedah mendukung amanah. Selain menyelesaikan tugas-tugas yang ditetapkan perlu pula tidak mengambil kesempatan untuk faedah peribadi sendiri.
Pada pentas yang lebih penting dan tersanjung sesuatu tanggungjawab sebenarnya mengikat kita untuk mempastikan ‘stakeholder’ tidak teraniaya, menerima penangan buruk oleh tindakan khianat kita yang diberi kuasa mengendali atau memutuskan jaya atau gagalnya sesuatu misi atau projek. Maka, yang boleh mengekang sikap gemar bersalah laku itu ialah kekuatan peribadi yang telah semenjak awal-awal lagi disemai oleh ibu bapa, para guru, masyarakat, peraturan dan lain-lain. Pun, kita ketahui, dalam pada para penjawat diasuh demikian, kemungkaran tetap berlaku, bahkan lebih berleluasa.
Marilah kita sejenak menghening, dimana salahnya dan apakah lagi yang seharusnya dilakukan agar “setia jelata” terpelihara sampai bila-bila.

No comments:

Post a Comment