Tuesday, 29 December 2015

Pantulan 46/15: Sajak M. Ashikin, “Hadiah Kemerdekaan Buat Papa”

Pantulan 46/15: Merdeka lagi
Di kalangan teman fbku, Dato' Dr. Mohd Mansor Abdullah (M. Ashikin), tergolong salah seorang yang agak kerap mensajaki ehwal kemerdekaan. Dalam kumpulan puisi “Lembah Damai”, ITBM/PENA, 2014, termuat “Kita Anak Selepas Merdeka”, “Hadiah Kemerdekaan Buat Papa”, dan “Sumpah Anak-anak Merdeka”. Juga, dalam antologi “Suara Kita” ada empat sajak beliau, iaitu “Anak-anak Lepas Merdeka”, “Hadiah Kemerdekaan Papa”, “Siapa Sebenarnya Merdeka”, dan “Tidak Semudah Itu”. Kalau semuanya hendak ditumpu, kukira pasti sahaja ditampungi sebuah buku. Tujuan aku bukan begitu. Pun, tidak diizinkan waktu.
Setakat membutir sebahagian yang terukir, dalam tiga sajak “Lembah Damai” ditekankannya, antara lain, keperluan bersyukur kerana pelbagai “jasa pemerintah”, berjati diri, permuafakatan menikmati “kekayaan”. Ada pula ditekankan tentang makna merdeka, keunggulan perlembagaan, kepatuhan undang-undang dan persefahaman rakyat. Penting juga dikata, sentuhan nyata tentang sikap warga merdeka yang harus gigih berusaha dan tidak bergantung kepada “subsidi selama-lamanya”. Banyak lagi, kerana setiap kata ada makna, setiap baris ada mesej!
Aku kira secebis yang ditapis pun tidak habis dinalisis untuk menjelas dan menanamkan peri pentingnya kemerdekaan negara. Negara merdeka memiliki perlembagaan yang dijulang tinggi. Kerajaan yang bertanggungjawab sekaki dan selari menabur nikmat di peringkat pusat, negeri dan setempat tanpa mengira ideologi majoriti semata. Warga negara berhak dilayan serupa. Negara merdeka tiada membiarkan daki penjajah menjijik wajah. Itulah sebab keperibadian bangsa tidak boleh mengelirukan atau tak sah kerana berlainan citra daripada tamadun warisan yang gemilang dan perahan minda yang berwawasan. Negara merdeka mendidik rakyat bersahsiahkan insan-insan berpendidikan, yakni tidak bertindak bermaharajalela tanpa batas susila bangsa berbudaya. Aku pun percaya, kerajaan yang terpilih memerintah negara merdeka secara berjemaah tanpa lain matlamat kecuali ingin melihat kemakmuran di serata pelusuk wilayahnya meningkat hebat; rakyat berkerjaya, berusaha mencari rezeki, membina keluarga, membangunkan negara bersungguh-sungguh hati kerana bukan orang luar lagi yang mengendalikan kemudi. Merdeka bererti tiada seorang pun terdesak ke tepi selagi dia bertungkus lumus tak henti-henti berdikari dan berperibadi terpuji. Di negara merdeka sesiapa pun terbuka ruang berwibawa kerana bersekitaran yang menguja.
(Nota: Sajak “Hadiah Kemerdekaan Buat Papa” dalam “Lembah Damai” dan “Hadiah Kemerdekaan Papa” dalam “Suara Kita” adalah sajak yang sama walaupun ada sikit kelainan pada judulnya. Begitu juga, sajak “Kita Anak Selepas Merdeka” pada hakikatnya sama dengan sajak “Anak-anak Lepas Merdeka” dengan ubahsuaian di sana di sini. Sajak “Tak Semudah itu” dalam antologi “Suara Kita” sebenarnya termuat dalam Dewan Sastera, Ogos 2004, muka surat 43 berjudul “Tak Semudah Itu Kita Mencapai Kemerdekaan” (lihat Pantulan 42/15: Merdeka).

No comments:

Post a Comment