Pantulan 18/15: Penyesalan
Mencari-cari sajak-sajak berlatarbelakangkan Kuala Lumpur, aku lalu terhenti oleh lintasan tanpa niat asali, terhadap sajak Siti Zainon Ismail, “Doa Seorang Lelaki Ketika Hujan Baru Reda”, Dewan Budaya, Julai 1990, muka surat 60-61. Sebuah sajak yang panjang. (Melatarkan: lake garden, bukit carcossa, masjid india, taman tasik ibu kota, robinson, coloseum café, padang kelab selangor, dataran merdeka, teman citypoint dayabumi, sungai gombak dan kelang).
Aku pun kurang pasti adakah sesiapa menghayati puisi ini. Bagiku, ia tidak menjadi alasan kerana kita mencungkilnya didesak keinginan sendiri. Sesuatu yang sangat peribadi.
Adalah terlalu panjang untuk aku merungkaikan setiap baris dan rangkapannya. Tambahan pula, sajak ini seharusnya dibaca sendiri, kerana seseorang yang benar-benar mencari sulaman kisah seperti yang diperikan, akan mengaprisiasikan penemuan diluar dugaan ini. Intinya adalah suatu rakaman penyesalan yang mengharukan, dalam olahan yang matang, sarat dengan kehalusan penghidangan seorang karyawan yang mengutamakan pemaparan keindahan bahan yang dimilikinya. Tiada sebab lain, agar benar-benar mengesankan.
ASKAT: Sekali lagi. Sejauh mana kita sedia membaca, lebih-lebih lagi menghayati, sampai keakhirnya sebuah sajak yang panjang. Apalagi kalau usia pun seperti sekarang. Tetapi jangan pula terkejut kalau kesabaran berusaha berakhir dengan suatu kepuasan, seakan kembali muda sebelum merealisasikan kekinian. Sebenarnya ia bergantung kepada banyak perkara, iaitu keindahan cerita, keindahan bahasa, keindahan ungkapan, keindahan suasananya, keindahan penampilan ‘babakan’nya, dan kekesalan yang amat sangat mengetuk bejana rasa, meramas siratan sukma kita. Tentulah masih ada sebab-sebab lain.
Kubayangkan, sebuah percintaan hanya akan menarik hati kalau ada kehibaan, seringnya pada pertengahan cerita dan berkesudahan dengan riang gembira berkeluarga. Tetapi pintalan riwayat yang boleh jadi berkesan lama, terutama kepada para pembaca, ialah yang sebaliknya; yang awalnya, kedua-dua asyik-masyuk mabuk kemaruk, saling terpesona, tetapi malangnya terhalang, lalu kedua-dua, atau salah satu menderita, sampai keusia “tua renta”. Dan, aneh atau tragisnya, “kita sendiri bahagia” dalam ketidaksampaian yang menjangkau serentak mencatu tempoh bermakna penghidupan manusia.
No comments:
Post a Comment