Pantulan 27/15: Fana
Memang! Ini memang kebetulan. Hari ini, selepas ‘Like’ di laman beliau, tiba-tiba mendepani, “Kekasih”, sajak jejiwa Rogayah Hamid (Rogayah A. Hamid), Dewan Sastera, April 2000, muka surat 45. Kependekannya merangkuli, lantas kupilih memantul sekali. Perasaan orang berkasih tidak mudah digambarkan. Apalagi kalau khalayaklah yang mahu kita minta sama-sama merasai pengalaman; seakan dialami diri sendiri.
Aku kira, biarpun terkesan suasana dan lenggok gaya berlatarkan tradisional lagi konvensional, rakaman percikan rasa yang menerobos kalbu rindu menderu lantas menyerbu masih dan tetap menepati. Bahkan lebih bererti kerana ledakan ini berkaitan hati.
Maka yang terserlah ialah ‘semua indah saja’ (teringat lirik sebuah lagu, “Pertarungan”). Dan demikian tidak harus kita perbahaskan. Cinta mampu mencantikkan segala-galanya. Sekurang-kurangnya pada satu tempoh, iaitu ketika cinta teruna dara itu mencapai kesempurnaannya. Ya! Begitu boleh berlaku pada saat puncak. Tanpa pun “kekasih” membelai di sisi, luahan sebegini tidak mustahil membuai hati. Akhirnya jadi realiti. Sebuah ciptaan berseni.
No comments:
Post a Comment