Tuesday, 29 December 2015

Pantulan 42/15: Sajak M. Ashikin “Tak Semudah Itu Kita Mencapai Kemerdekaan”

Pantulan 42/15: Merdeka
Aku memanglah mencari-cari sajak-sajak bertemakan kemerdekaan sempena bulan Ogos yang tiba. Bertuahlah kujumpai segera. Alangkah pula seronoknya memahami konsep ini melalui sebuah puisi penulis ternama, teman fbku sendiri. Penjajahan dan kemerdekaan dengan mudah digarapi intipatinya dengan menghayati sajak M. Ashikin (Dato' Dr. Mohd Mansor Abdullah) seperti diaduni beliau dalam “Tak Semudah Itu Kita Mencapai Kemerdekaan”, Dewan Sastera, Ogos 2004, muka surat 43. Beliau kutahu telah merasai kedua-dua era itu, pra dan pasca merdeka. Tahulah kita semasa dijajah, kita “bergelar kuli atau petani berdukacita”. Begitu pun, apabila terbebas dari belenggu “tak semudah itu kita mengisi/dan mewarnai erti sebuah kemerdekaan”. Perebutan berlaku demi mengangkat kepentingan puak masing-masing, sedangkan “…kebebasannya berlandaskan keadilan/…/perlembagaan, …/kedaulatan undang-undang …” kerana Malaysia “menjadi hak seluruh rakyat …”
Langkah pertama ialah membebaskan diri. Tiada orang asing datang menguasai, menjajah dan menentukan prioriti rakyat jelata semula, dalam bentuk lain-lain pula. Sebaik merdeka, setiap langkah ke hadapan seharusnya sepasukan, saling menghormati seperti dipersetujui ketika sama-sama berjuang. Di sini kita bersama-sama memiliki dan memaknakan bahawa kemerdekaan sejati adalah berasaskan pendikarian warga negara sendiri. Ini menjadi syarat utama. Hakikat yang tak tertakwil lagi. Akuran semualah dituntutnya. Apabila gemblengan itu telah tersimpul mati, sama, serupa, sejiwa, maka baharulah kita mampu melangkah ke fasa lain, yang lebih murni, iaitu kemerdekaan minda yang berfungsi mengisikan lompang-lompang mentaliti atau pemikiran yang selama ini terketepi. Sedangkan aspek inilah yang terbukti mentamadun dan mendarjatkan bangsa. Kemerdekaan menjadi sungguh-sungguh bererti apabila dari semua segi, kita menentukan sendiri dalam ketertiban yang saling memanfaati dari satu generasi ke generasi-genarasi pengganti yang mewarisi.

No comments:

Post a Comment