Wednesday, 30 December 2015

Pantulan 61/15: Sajak, Ahmad Sarju, “Jika Kita Biarkan”

Pantulan 61/15: Merawat barah
Sedekad yang berlalu tidak banyak merobah suasana dan kerana itu sangat relevan sajak penyair tak berhenti-henti berkarya, Ahmad Sarju berjudul “Jika Kita Biarkan”, Dewan Sastera, Januari 2008, muka surat 37 dibaca semula agar tidak diulang penempaannya. Yang ditinjau ialah, “Jika curiga…”, “Jika sengketa …”, “Jika perselisihan …”, “Jika kita putuskan tali persahabatan” tidak dikendalikan atau di“biarkan” maka semuanya “akan … jadi pembinasa”. Tiada kesimpulan lain lagi.
Barangkali kalau ada majlis-majlis deklamasi pada acara-acara yang ramai para pengunjung berbagai kaum sajak ini haruslah dipilih untuk menyedarkan khalayak bahawa negara ini mencapai kemajuan dalam pelbagai bidang oleh kerana sumbangan kalangan warga dari pelbagai pihak. Ia bernafas muhibah, difahami mudah, tanpa teka-teki ‘ngeri’! Lalu, kalau dihayati perutusannya akan timbul keinsafan bahawa, bergerak ke depan, yang menjadi syarat utama ialah perpaduan sesama kita. (Tetapi dalam kesantaian situasi persembahan, berapa keratkah hadirin yang merenung ke inti kalimat-kalimat puisi sampai kita boleh bergantung harap kesan hebat daripada sesuatu majlis sebegini?)
Kesampingkan yang itu, siapakah yang paling utama perlu memainkan peranan menjernihkan kekeruhan? Aku kira para pemimpin. Bukan sahaja yang sedang bersilat kencang dan garang di medan politik, juga di kalangan NGO, institusi pengajian tinggi, dan individu-individu berpengaruh. Tidak boleh diketepikan lagi para penulis maya seperti kita. Pengalaman dan perkembangan kebelakangan ini menunjukkan rayuan, seruan, pandangan, syor dan seumpamanya tidak benar-benar menjadi agenda pihak-pihak yang terbabit. Sambil gembira melihat yang senada, terhenjut pula kita oleh yang tak sejiwa. Sebab itulah banyak seruan atau mesej yang sama boleh dibaca dalam sedekad lebih yang lalu, bahkan yang dulu-dulu, menumpukan isu yang tidak jauh perbezaannya. Semuanya lenyap terperap dalam banyak helaian berlipatan. Tentulah banyak sebab kegagalan mengatasinya pada masa-masa yang lepas dan sekarang bahkan akan datang pun. Semuanya kita pun tahu sebab kita adalah pemerhati yang tajam dan tidak pernah pejam.
Bukanlah rahasia lagi malapetaka bakal terjadi dengan memilih tidak bertindak terhadap isu-isu yang bergelegak di otak rakyat. Ketahanan sebuah negara bergantung kepada asas penubuhannya. Zaman berganti. Perubahan terhadap paksi-paksi negara boleh dilakukan dengan cara yang diterima bersama-sama. Apabila dipersetujui, bolehlah pendekatan baru diikuti dan pendekatan lama menjadi sejarah. Ungkit mengungkiti, salah-menyalahi harus berhenti.
(Nota: Dalam kumpulan puisi, Ahmad Sarju, “Permata Budi”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2007, ada sebuah sajak berjudul “Jangan Kaubiarkan”, muka surat 56 dan diulangi di muka surat 132. Ia berlainan daripada sajak yang dipantulkan).

No comments:

Post a Comment