Pantulan 20/15: Islah berterusan
Sungguh merdu, “Lagu Kemenangan”, Ahmad Sarju (Utusan Kiblat, Januari 1976, muka surat 53). Kalaulah alunan gemulai gemilang ini benar-benar dapat membuakkan qalbu lantas mencetuskan kejituan pegangan suci terhadap Islam, alangkah bermaknanya; selari dengan ajaran dan anjuran Rasulullah s.a.w. Yang sudah jadi rakaman sejarah, sama ada dari segi pemerintahan, ketokohan, keilmuan, perjuangan dan lain-lain, ajaran Islam tidak ada kekurangannya. Tidak tersilap pendirian menjadikan sejarah silam sebagai sandaran. Dan inilah yang masih sampai sekarang menjadi tangkal menuju perobahan bagi melonjak semula ke puncak. Dan bertuahnya pula, “kerana Allah bersama kita”.
ASKAT: Sebenarnya kerap benar kita didendangkan tentang keunggulan Islam, pada zaman awalnya! Tetapi sekarang agama ini sudah begitu dihinakan oleh musuh-musuh Islam. Imej yang terpancar dari serata pelusuk dan melalui pelbagai media ialah yang jelek-jelek. Oleh kerana itu orang-orang Islam terpengaruh, lalu bersekongkol dengan seteru-seteru kerana pertahanan mereka tidak cukup kuat untuk menghindari aneka pencalaran dan pencalitan yang bertujuan melemah atau melumpuhkannya. Maka tidaklah mengejutkan lagi kalau keagungan lama itu sentiasa menjadi asas untuk membangunkan semula keporakperandaan yang berabad-abad berterusan membisul. Tetapi apabila orang-orang Islam sendiri tidak mampu memperkuatkan diri, dengan ilmu duniawi yang setanding atau mengatasi musuh-musuhnya dalam bidang-bidang wajib, maka doa dan amalan seharian hanyalah akan tidak memadai bahkan menjurus ke arah kehancuran. Kesedaran sebegini sebenarnya ada dalam sanubari sebahagian orang Islam tetapi malangnya ia tidak menggemblengkan mereka semua untuk bersatu merobah suasana. Persoalannya, sampai bila?
No comments:
Post a Comment