Pantulan 49/15: Ketakwajaran
Sedang hujan menitiskan airnya di luar, aku melintasi sajak temanku ,Ahmad Sarju “Ketika Hujan Tidak Menitis”, Dewan Budaya, Ogos 2001, muka surat 62. Sekali gus sudah kita ketahui, yang hendak ditegaskan beliau ialah kejahilan mengendali, dalam kes ini sumber-sumber asli yang menjadi anugerah Ilahi. Manusia dan yang bernyawa mendapat faedah besar kalau sekitaran diuruskan sebijaksananya demi memberikan jaminan keselesaan “di bumi indah yang makmur ini”. Tetapi itulah yang jarang berlaku. Kebalikannya lebih menonjol terjadi, “dari pembaziran yang disengaja/dan kerakusan yang dipamerkannya.”
Yang kita perhatikan, seakan bermusim rungutan atau sesuatu dipersoalkan. Sekarang jerebu datang mengelubungi semula dan berita pun mendada di mass media. Apabila banjir kilat mengamuk, maka semua orang pun sibuk cuba menyorokkan kenderaan yang terperangkap. Lihatlah sungai yang pekat tersendat mematikan ikan, semua menyeru berkempen membersihkan, agar boleh jadi tempat mencari rezeki. Tetiba tanah pula yang runtuh, semua lalu gaduh walaupun rakyat tetap sabar tak merusuh. Di perairan berarus gelombang, tenggelam feri atau bot penumpang, dianjurkan penguatkuasaan peraturan supaya mereka tak mati apabila karam. Tetapi yang biasa berlaku terus berlaku. Yang alpa terbingkas dari lena, seketika, sementara. Kemudian datang pula yang lain menggantikan yang telah bertukar selesa atau bersara. Sedangkan, akta-akta sebenarnya sudah tergubal tetapi yang lazimlah berterusan iaitu pelaksanaan dan pemantauan timbul-tenggelam, lebih surut berbanding pasang.
Betapa ruginya! Sungguh malangnya! Alangkah sesianya! Ketidakwajaran berleluasa dan tiadalah yang lain mendatangi kita kecuali malapetaka. Sayangnya kita terus membiarkan. Malangnya kita tidak menjadikannya sempadan. Beginikah amalan kita yang berpendidikan? Menyaksikan dengan kerelaan?
No comments:
Post a Comment