Pantulan 32/15: Merakam pengorbanan
Teman fbku, Sutung Umar RS, bertanya tentang tanggungjawab penyair. Aku suka kebersahajaan kalimat-kalimat, “Apakah yang seharusnya ditulis”, “Apakah yang semestinya ditulis” pada awal dan akhir sajak “Penyair dan Hari Kemerdekaan”, yang tercipta 32 tahun dahulu, Mingguan Bumi, 3 September 1983 (lihat, “Malaysia Dalam Puisi”, muka surat 274-275). Apalagi apabila kalimat-kalimat itu disusuli kesantaian, “oleh seorang penyair/sewaktu merayakan/ hari ulang tahun kemerdekaan tanahairnya”. Jawapan beliau berikan sendiri, “selain menyatakan pendiriannya/dengan merdeka”. Prosaik yang puitik.
Sebelum membaca sajak ini, kelmarin aku menyemak judul-judul sajak-sajak ciptaan di antara tahun 1913-1957 dan mencatat judul-judul, “Oh Chulan! Oh Chulan!” (IBHY, Majlis, 1938); “Encik Onn” (Anum, Majlis, 1940); “Dato' Onn Berdiri” (N. Latiff, Majlis, 1947); “Abdul Rahim Kajai” (Melan Abdullah, Mastika,1948); “Ayahanda Rahim Kajai” (Yahya Suti, Hiburan, 1948); “Ahmad Boestamam” (Abdul Salam, Hiburan, 1955); “Bapa Boestamam” (C.K. Abdul Rahman, Utusan Zaman, 1955). Yang lain-lain mengenai Hang Tuah (7 buah). Banyak sajak tentang “yang mati tanpa nama/yang hidup tanpa gelar” tercipta merata-rata tetapi keumuman kalimat-kalimat menjadikan sanjungan, penghargaan terhadap mereka (pejuang, penganjur, Askar Melayu, Polis, dan lain-lain) tidak berkesan, barangkali hanya dibaca ketika tersiar kali pertama.
Sajak-sajak perjuangan, cinta tanahair (juga tentang tema-tema yang lain) yang dapat digubah dengan indah, banyak sumbangannya kepada negara. Kalau pada majlis-majlis deklamasi ia dihargai, apalagi dikaji di sekolah-sekolah atau institusi-institusi pengajian tentulah tidak dipertikaikan lagi khidmat bakti atau jasa karyawan-karyawan berkenaan. Kita pun gembira kalau para penyair dianugerahi berpadanan. Yang mengkhuatirkan, ribuan sajak ditulis, tetapi yang dijunjung atau hidup hanya sebilangan sahaja. Jadi, mencipta “dengan merdeka” menuntut penyair menghasilkan sajak-sajak yang tahan zaman berzaman.
(Rujukan: Ahmad Kamal Abdullah & Ahmad Razali Haji Yusof, “Malaysia Dalam Puisi”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1991, cetakan kedua; Kamaruzzaman Abdul Kadir, “Nasionalisme Dalam Puisi Melayu Moden 1933-1957”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, cetakan kedua (cetakan pertama 1982); Abdul Latiff Abu Bakar (Penyelenggara), “Puisi-puisi Kebangsaan 1913-1957”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, cetakan pertama).
No comments:
Post a Comment