Pantulan 29/15: Mengadap-Nya
Setelah sekian lama berselang, muncul juga semula teman fbku yang mesra sapaan, Sabariah Bahari, melalui sosok sajak, “Kita Masih di Sini”, Dewan Sastera, Jun 2000, muka surat 46. Susunan kata-kata dan kalimat-kalimatnya sarat dengan pengabdian, cinta Ilahi. Bahawa matlamat kehidupan di bumi bukan sejati, kerana akhirnya “kita” tidak terhindar dari “… panggilan-Nya”. Ya, kita “menunggu..” mati. Tentulah dengan persediaan yang penuh berhemah. Tidak secara memberi rugi.
Bersyukurlah kita kerana berada selesa; lega menghirup udara, teratur menghela usia , dilimpahi rezeki, bersuami-isteri, dikenali , dihormati. Dan mujurnya, sedang demikian, kita “menyusuri gemerlap Mukmin/menengadah rahmat”. Ertinya, kita tidak lupa bahawa akhirnya bukan kita yang berkuasa. Kewujudan di dunia ini tergantung kepada kurnia dan sampai ketika Dia memanggil kita kembali ke alam abadi. Maka kalau sudah disyaratkan ketakwaan sebagai kriteria penitian pantas denai pulang, tidak bijaksana mengamalkan kealpaan, pencabulan yang memporakperandakan. Terasa, seakan mudah untuk mengikuti jalan yang lurus tetapi ternyata bahawa berbondong-bondong insan yang sudah mendahului pergi. Tidak pun mereka disahi sahsiah misali, insan yang mentaati Ilahi. Mereka terbukti melepaskan peluang keemasan. Dan mereka tidak datang semula ke alam bumi memberitahu kita realiti yang dihadapi. Sesungguhnya, dengan anugerah akal, ilmu, kesihatan, harta-benda, kerabat, atau apa sahaja kurniaan bahkan cabaran dan ujian, serta dipandu oleh ketakwaan, insya-Allah, kita akan dilorongkan ke pintu hidayah agar benar-benar bersedia mengadap-Nya. Bukan “di sini” sebaliknya di sana pada saat-saat yang tersurat pasti.
No comments:
Post a Comment