Saturday 2 September 2017

Pantulan C/01/16/2017 : Sajak Ahmad Sarju, "Petani Juga Penyair"

Pantulan C/01/16/2017 : Mengalih haluan
Sajak boleh merakamkan sesuatu era. Jika mahu bernostalgik, ungkapkan tentang pengalaman peribadi yang sudah terlipat dalam kenangan. Ahmad Sarju, melalui “Petani Juga Penyair”, (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Mac 2016, muka surat 72 telah melakukannya. Apatah tidaknya. Membaca puisi ini pada tahun 2017, aku sudah mula tidak yakin untuk menemui generasi muda sekarang “berkawan dengan kerbau” bahkan lagi-lagi payah melihat “… petani-petani tua/tetap setia bersama-sama kerbaunya”. Abad 21 sudah berdiri menguasai.
Apabila Ahmad Sarju mencoretkannya sebahagian fragmen kehidupan demikian generasi kotawan bahkan desawan boleh menangkap imej bahari itu dan mengenali asal dan sekitaran mereka yang sebenar pada suatu ketika belum lama lagi berlalu. Dari aspek ini pun adunan lembut dan lunak puisi ini hadir terpampang.
Tetapi aku sayu dan sedih. Yang ada dalam sekitaran kita sudah banyak bertukar jadi pencetus kedukalaraan bagi orang yang pernah mengalami era silam. Lalu, “alam”, “angin”, “kemarau”, “camar”, “bangau” dan lain-lain, entahlah apa pula peranannya? Semuanya itu sudah tidak lagi mewakili era tradisi yang murni dan harmoni. Ia sudah terlupus mendukung erti lampaunya. Ia jadi tidak bererti lagi untuk membina sifat “teguh, cekal dan berani.” Barangkali pada masa kini, semua itu jadi daya tarikan atau tolakan kerana alternatif-alternatif lebih menguntungkan dan serasi dengan tuntutan semasa muncul mengungguli.
Semoga, dunia yang hilang berganti dengan penambahbaikan. Kerbau yang selama ini terbeban menenggala sawah menjadi haiwan ternakan memenuhi semua keperluan (ibadat korban, perusahaan makanan halal global, dieksport ke pasaran serantau, …), alam yang terbiar, diliputi semak dan lalang, jadi tapak serba-serbi gerakan keusahawanan mesra sekitaran, angin yang menderu jadi sumber tenaga baru menambah pilihan sekali gus menjamin penjimatan.
Demikian juga yang lain-lain. Semuanya menyumbangkan kelestarian yang bersumber kebijaksanaan menggemblengkan alam dengan keperluan yang sentiasa berubah oleh langkahan zaman.

No comments:

Post a Comment