Monday 11 September 2017

Pantulan C/02/19/2017: Sajak Hilmi Rindu, “Di Luar Bingkai Sejarah”

Pantulan C/02/19/2017: Biarkan serupa
Banyak sebab kita berbondong-bondong balik kampung pada musim perayaan. Atau, tetap berkunjung bersendirian pada musim lengang. Pembangunan negara selepas kemerdekaan merobah banyak suasana. Bandar-bandar berkembang. Ia menjadi tumpuan anak-anak muda berhijrah mencari nafkah. Sama ada mereka terpelajar atau berpendidikan rendah semangat berkobar untuk hidup megah atau mewah. Sebahagian telah menjadikan bandar tempat bermastautin, sebagai kampung ganti. Di tempat baru itu mereka berjaya – membina keluarga, meningkat tua, tanpa berhasrat untuk kembali ke kampung halaman asal. Bagi generasi ini mereka masih erat pertalian dengan tempat bermain dan membesar. Kerinduan mereka terhadap kampung yang ditinggalkan tetap tersemat di hati. Mereka tetap akan menghargai kesempatan untuk sesekali pulang. Perasaan begitu semakin hilang di kalangan zuriat mereka. Mereka generasi lain; lahir, membesar dan dewasa di sekitaran yang baru, berbeza daripada kampung halaman ayah ibu. Hilmi Rindu, lewat “Di Luar Bingkai Sejarah”, (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Oktober 2016, muka surat 71, memfokuskan generasi pendahulu yang sempat mengalami peralihan zaman.
Aku tidak sekali-kali menafikan lukisan berseri Hilmi. Suasana damai kampung, kesanak-saudaraan, ketaulanan, kejiranan, pencarian rezeki, amalan bermasyarakat dan corak berkebudayaan menjadikan ingatan itu berkekalan. Semua unsur itulah yang sedikit sebanyak membentuk perwatakan. Sebahagian mempengaruhi interaksi dengan sekitaran luar sebaik keluar meninggalkan kampung sendiri mencari peluang-peluang kehidupan yang lebih baik lagi. Mereka, pelaku-pelaku itu, tetap terhutang budi dan kenangan terhadap “pahlawan” dan “pejuang” yang sedikit sebanyak mencorakkan jati diri mereka sekarang. Sekadar begitu penghargaan terhadap generasi pelopor atau lama, tanpa gelaran Datuk Seri, kukira tidaklah sedikitpun menandakan kurang penghormatan.
Dalam beberapa dekad menjalani pengalaman baru, sebahagian besar para pengongsi kota itu akhirnya banyak yang berjaya. Sungguhpun, kejayaan yang dicapai tidak semestinya sumbangan mutlak pelbagai unsur suasana tempat asal, tetap ingatan kepada tanah tumpah darah tiada pudar. Tetapi sejauh manakah fenomena ini berpunca daripada tempaan suasana desa yang sedia ada? Ia boleh lagi diperdebat panjang.
Sekarang, setiap kali pulang ke kampung asal, suasana yang tersimpan di minda tidak serupa lagi dengan yang kelihatan di mata. Kampung telah berobah sekitaran fizikalnya, mengunsuri sekitaran hampir menyerupai tempat yang dianggap bandar. Penghuni desa sudah terdedah kepada semuanya. Pendedahan penduduknya tidak berbeza lagi dengan yang dialami penghuni bandar. Sistem komunikasi terlalu canggih melanda dan dialami semua. Mereka mungkin masih tidak menyerlah mewah dari segi sumber nafkah, tetapi dari segi-segi yang lain, tidak banyak yang boleh dianggap bersifat asing.
Dan amat penting atau ketara, kita generasi pengongsi sudah tidak dikenali mereka. Yang tinggal di desa sudah ramai pun tidak lagi bermaya, dan yang masih belum mampu berkeluarga, kerana terlalu muda, sedang bersekolah belaka, menunggu masa untuk menyusuli pula!
Ataupun, kalau sebaya atau segenerasi dengan kita, mereka tidak jauh berbeza, masing-masing berbudaya lebih kurang sama juga. Pendek kata, sama ada kita yang tinggal di kota atau “pak long pak cik pak ngah” yang kekal di kampung menghadapi cabaran setara. Boleh dimaknakan bahawa, sama ada kita atau mereka, sama-sama berada “di luar bingkai sejarah”. Masing-masing tidak merobah falsafah kehidupan kerana hidup “sederhana”, berpada dengan yang ada, tidak bersemangat mencipta sejarah setaraf gah yang luar biasa mengalih rupa.
Aku kira, di desa mahupun di kota, pembangunan telah membuka peluang yang hampir sama rata (?). Dengan segala ciri dan kriteria-kriteria untuk mencipta sejarah hadir dan terbuka luas wajarlah kita tidak lagi mengasingkan potensi sumbangan atau penyertaan para pelaku berasaskan tempat berada. Semua yang positif, ambillah. Biar semua warga menyumbang ke arah mewujudkan kemakmuran tanpa perbezaan petempatan.

No comments:

Post a Comment