Monday 11 September 2017

Pantulan F/02/20/2017: Sajak Siti Zainon Ismail, “Ke Hujung Jalan Yang Lempang”

Pantulan F/02/20/2017: Suruh yang baik cegah yang jahat
Kehidupan tidaklah begitu lurus perjalanannya. Demikian semenjak hari kelahiran sampai hari berpulang. Banyak fasa dan setiap melangkah mara tiada terhindar sama sekali pancaroba. Tetapi melangkah manusia mesti, sambil memikul tanggungjawab dalam masyarakat insani. Usia bertambah dengan mengheret rentet-rentet pengalaman yang panjang, berbauran, berunsur kebaikan dan kemaksiatan. Memang tidak akan terhenti perjuangan ini kecuali nadi lupus berfungsi. Aku bersimpati sambil setuju hati dengan pemerian Siti Zainon Ismail, lewat “Ke Hujung Jalan Yang Lempang”, (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Oktober 2016, muka surat 75, kerana demikianlah kegawatan yang sentiasa hadir mendepani insan sehingga dia telah benar-benar tiba di penghujung jalan kembara dunia yang fana.
Semua hamba hampir samarata diberi kesempatan untuk bertakwa terhadap Allah SWT. Mereka yang tidak cukup persediaan dan muhasabah mungkin lebih alpanya berbanding mereka yang berikhtiar mentaati firman dan sabda sebaik-baiknya. Maka, perlu ada satu rumusan yang bermatlamat untuk tetap beribadat selaras yang terpahat dalam kitab-kitab anutan. Maknanya, ketika berada di dunia, sedang kesempatan terbuka, kendalikanlah urusan seakan tetap kekal hidup selamanya. Hanya jangan mengabaikan hakikat bahawa setiap yang bernyawa tetap akan menemui titik penamat. Maka dituntutlah bekalan yang menjamin keselamatan sendiri. Ada ganjaran telah digambarkan, hatta ketika sedang ligat mengembara di dunia sebelum akhirnya mengadap Tuhan di alam ghaib yang kekal abadi, pasti menyusuli. Di alam satu lagi nanti, sudah jelas dijanjikan balasan; sangat menepati. Amalan baik dibalas dengan faedah berlimpah sedangkan perbuatan buruk dibalas teruk tanpa belas kasihan. Pendeknya semua insan diadili teliti sehingga berakhir dengan ganjaran atau hukuman berpadanan. Neraca penghakiman menimbang bersandar bukti-bukti sahih tanpa keraguan. Tiada sesiapa dilayan berlainan daripada peringatan atau amaran awal yang termaktub mengasasi ajaran Islam.
Memang tiada petua mudah untuk digariskan demi mencapai ertian firman-Nya, “Kembalilah kepada Tuhanmu/Dengan hati yang senang/dan diridai-Nya!” (Surah 89:28, H.B. Jassin, “Al-Qur’anul-Karim Bacaan Mulia”, (1991, cetakan ketiga, halaman 861). Para ilmuan sentiasa melorongkan insan agar sentiasa mengakuri ‘amar ma’ruf nahi munkar’. Dengan pelbagai pancaroba yang berceracahan di jalanan apa yang boleh dilakukan ialah melengkapi diri dengan ilmu dan berterusan beramal selayaknya seorang hamba-Nya.
Di samping itu, berdoa kemudian bertawakallah. Bak terjemahan H.B. Jassin, “Al-Qur’anul-Karim Bacaan Mulia”, (1991, cetakan ketiga) Surah 1:6-7, halaman 1,
“Bimbinglah kami ke jalan yang lurus lempang,
Jalan orang-orang yang telah Kau beri nikmat ,
Bukan orang yang Kau murkai,
Dan bukan orang yang sesat jalan.”

No comments:

Post a Comment