Saturday, 2 September 2017

Pantulan D/01/17/2017: Sajak Sahrunizam Abdul Talib, “Di Negeri Merah”

Pantulan D/01/17/2017: Mengadili ketempangan
Alangkah baiknya kalau negara kita membangun dengan semua rakyat menerima faedah masing-masing. Menikmatinya sama rata, berpadanan atau sepada-padanya. Tiada mana-mana pihak menghadapi kerugian atau kesusahan, apalagi kesengsaraan tanpa berkesudahan. Secara satu-satu, tentulah tidak mustahil sesuatu projek pembangunan memberi faedah kepada semua. Tetapi yang biasa disentuh ialah pembangunan yang tempang, oleh kecurangan dan peluang tanpa pemantauan. Sebahagian (biasanya segelintir) menangguk keuntungan sedangkan sebahagian yang lebih besar tidak menerima faedah bahkan mengalami akibat buruk berpunca daripada penyalahgunaan sepanjang pengendalian projek itu. Inilah perihal malang yang menjadi inti kamilan yang aku cungkil daripada karya Sahrunizam Abdul Talib, “Di Negeri Merah”, (Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Julai 2016, muka surat 73.
Aku kira tidaklah bijaksana menamakan para pelaku dan latar geografi sebenar. Setiap warga sudah maklum semenjak sekian lama. Yang boleh diperikan dengan teliti ialah sifat-sifat dan sikap-sikap manusia yang sentiasa mengambil kesempatan, mendahulukan kepentingan sendiri. Dalam berbuat begitu tidak dikiranya implikasi merugi dan merosakkan kepada orang dan alam. Lebih perit lagi, gerombolan pendukung itu termasuk tokoh-tokoh dan menduduki barisan hadapan dalam masyarakat tempatan atau atasan. Mereka disanjung kerana memiliki kudrat meliputi pelbagai lapangan. Pengaruh mereka seakan tak makan saman.
Dalam keseluruhan pemerian, aku sangat menghormati untaian akhir sekali terutama, “sungainya sibuk bekerja/mengalirkan sendu seluruh warga.” Benar-benar insan-insan “di negeri merah” itu teraniaya. Mereka tiada pembela. Barangkali, kalau demikian berleluasa angkaranya, paling kurang, sebuah sajak lain, atau bahagian kedua sajak yang sama, seyogia menghalusi bagaimana “anak-anak keliru…” tidak lagi rela menjadi saksi kelu sebaliknya bangkit berdiri menghunus keris sakti merobah situasi. Biarkan semua “petualang” ghaib daripada kerusi menjadi penghuni abadi digari dalam kandang berjeriji besi. Sebagai pemuisi, bukanlah tidak boleh dicipta penyudahan yang lebih menceriakan majoriti. Aku sedia menanti.

No comments:

Post a Comment