Pantulan A/01/11/2017: Taqarrub
Pantulan-pantulanku terhadap sajak-sajak Sabariah Bahari setakat ini meliputi, “Malam Adalah Sebuah Kedamaian”, Dakwah, September 1994 (Pantulan 26/14); “Kita Masih di Sini”, Dewan Sastera, Jun 2000 (Pantulan 29/15); dan “Di Sini Seorang Perempuan”, Al Islam, September 1994 (Pantulan 10/15). Sajak terakhir yang kulintasi kini ialah “Perempuan Ini”, (Puisi Bulan ini), Dewan Sastera, Mei 2014, muka surat 69. Ia terumus padat dalam kalimat, “tiba-tiba menggeletak ketakwaan datang”. Ini berlaku setelah lama penyairnya kemamar bahkan kesasau oleh rentetan nasib malang.
Aku ingat ini adalah rakaman riwayat peribadi. Keterombang-ambingan yang hampir menyirnakan diri akhirnya terkendali. Beliau dituntun ke arah “mentataqarrubkan diri” kepada Ilahi kerana Dia sahaja yang berkuasa memancarkan “… kemilau cahaya…”. Terselamatlah penyair daripada hanyutan deras pancaroba hampir menggelaminya. Tiada daya upaya manusia tanpa keizinan Penciptanya iaitu Yang Maha Besar.
Sajak ini tiada melindungi apa-apa atau bahkan penggubahnya sendiri. Keseluruhannya terlalu terang untuk difahami berlainan. Ya, ia tersurat nyata. Dari segi pengalaman lampau, dari segi kejahilan masa silam, dari segi keporakperandaan mengharungi kehidupan pahit tak keruan, semuanya terpapar untuk kunyahan sesiapa. Maka eloklah kita tidak melupakan perutusan putih yang sekurang-kurangnya boleh disempadani.
Sebuah sajak seharusnya mengesankan erti hasil didukung ilmu (pengetahuan) dimiliki. Itu paling asasi. Kalau ia diserikan dengan keindahan diksi, kalimat berseni dan memahat maknawi di sanubari peneliti, lebih-lebih lagi disyukuri. Ya, asalkan jangan sekadar berpuisi.
No comments:
Post a Comment