Terkenang Ibuku
17 tahun berlalu.
Arwah ibuku (No. KP: 310804-11-5000) berpulang ke rahmatullah pada 13 Jun 2000, jam 12.30 tengah hari, Selasa. Ketika itu beliau berusia 69 tahun. Tercatat sebab kematian sebagai “SAKIT TUA”. Sijil Kematian beliau (No. Daftar : C 412321) dikeluarkan oleh Balai Polis Kampung Raja, Besut, Terengganu pada pukul 1520. Pemaklum kematian bernama Abu Abaidataamil bin Zakaria (No. KP 660102-11-5073).
Aku yang sedang bertugas di Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia, Putrajaya bercuti tiga hari ( 13 – 16 Jun) dan sempat melibatkan diri dalam majlis perkebumian dan tahlil beliau. Hari Khamis, 15 Jun 2000 = 12 Rabiulawwal 1421 ialah cuti Maulidur Rasul.
Pada Hari Raya Aidil Fitri Kedua bertarikh 26 Jun 2017 = 2 Syawal 1438, aku menziarahi pusara beliau yang bersebelahan pusara ayahku di Tanah Perkuburan Kampung Air Tawar, Besut, Terengganu.
Al Fatihah.
Banyak kenangan aku bersama-sama Mak. Salah satu yang mengharukan ialah ‘paksaanku’ supaya Mak menjahit baju sekolah apabila aku berjaya memasuki Tingkatan 4. Stail baju ini, barangkali satu-satunya yang dipakai oleh pelajar-pelajar ketika itu. Aku ingat benar, ‘memantau’ Mak menyudahi baju itu dengan susah payahnya menggunakan mesin jahit Singer yang sedikit uzur. Ia telah lama dibelikan Ayah. Peristiwa tempahanku itu, bahkan sampai sekarang, tertanam dalam jiwaku. Perasaannya bercampuk aduk; bersalah dan kagum dengan kegigihan beliau memenuhi ego remajaku.
Gambar yang kupamerkan malangnya tidak dapat menunjukkan kelainan atau keunikan baju ini. Barangkali mencukupi kalau kukatakan, bahawa baju itu berleherkan baju Melayu tetapi kolarnya seperti baju kemeja yang biasa. Mutu kain tidaklah baik sangat. Ia perlu digosok dengan seterika arang untuk menonjolkan kehebatannya. Aku sangat berpuas hati dengan hasil tangan Mak dan dengan diam=diam bangga memakainya ke sekolah.
Gambar yang kupamerkan malangnya tidak dapat menunjukkan kelainan atau keunikan baju ini. Barangkali mencukupi kalau kukatakan, bahawa baju itu berleherkan baju Melayu tetapi kolarnya seperti baju kemeja yang biasa. Mutu kain tidaklah baik sangat. Ia perlu digosok dengan seterika arang untuk menonjolkan kehebatannya. Aku sangat berpuas hati dengan hasil tangan Mak dan dengan diam=diam bangga memakainya ke sekolah.
Baju kemeja yang dikatakan itu menghasilkan versi lain. Aku telah mengubah suai fesyen baju asal itu menjadi lebih menarik dengan menempah di kedai jahit profesional di Jerteh, mungkin ketika umur meningkat 17 tahun. Wang tempahan dan upahan diperolehi hasil menjadi awak pukat tangkul semasa cuti sekolah. Baju itu masih berkolar biasa, dengan leher masih berasaskan baju Melayu tetapi butangnya ditambah menjadi empat biji, tetulangnya tertutup sampai hampir pada aras pusat. Baju ini berwarna kekuningan dan menjadi baju raya atau baju yang dipakai pada waktu-waktu teristimewa.
Mak tidak jauh berjalan ketika hayat beliau. Kampung sendiri dan daerah Besut dan sekitaranlah tempat yang Mak agak biasa. Banyak sebabnya jadi begitu. Pemerian lain diperlukan untuknya. Hanya untuk saat ini, kuceritakan Mak dan serupa juga dengan Ayah, benar-benar berjalan jauh pada tahun 1974. Ketika itu aku menamatkan pengajian di Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Ayah, Mak dan Abang Cik turut hadir sama pada Majlis Konvokesyen di DTC. Tentulah mereka semua gembira kerana akulah orang yang pertama lulus universiti bagi kampung itu. Dan, kalau diambil sekolah pula, akulah juga bekas murid pertama yang mencapai kejayaan itu. Kerana aku Mak dan Ayah dapat mengenali ibu kota Malaysia.
Mak dan dua orang saudara rapat juga hadir majlis pernikahanku pada 7 Julai 1979 = 12 Syaaban 1399. Dalam gambar mereka sedang berada di rumah ibu bapa isteriku, di Kota Bharu.
Kami, aku dan isteriku menjejaki pelamin pada tahun 1979. Mak menjadi salah seorang perenjis air mawar dan penepung tawar.
Mak pernah sekali-sekala datang ke Kuala Lumpur dan salah satu rakaman kehadiran Mak ialah gambar beliau memangku anak sulung kami ketika kami tinggal menyewa rumah di AV 60, Jalan Langkawi, Taman Setapak, Kuala Lumpur, pada awal 1980-an.
No comments:
Post a Comment