Umrah 26 (Addendum 2 – umrah mukminah)
Manfaati kesempatan
Salah satu perkara yang saya lakukan di Masjidul Haram ialah mendengar ceramah-ceramah agama yang disampaikan selepas solat fardu, apabila terluang kesempatan. Tidak semua ruang solat ada program ini. Dalam salah satu majlis berkenaan, seorang ustazah muda Arab memberikan ceramah. Dia duduk di hadapan di atas bangku (kekuda) kecil. Beliau tetap berhijab. Ceramahnya menyentuh kaedah berwuduk dan solat, dalam bahasa Arab. Oleh kerana disedari ada juga kalangan jemaah bukan berbangsa Arab, disela-selanya sedikit-sedikit penjelasan dalam bahasa Inggeris, walaupun tidak begitu faseh. Maka dapatlah saya meraih sedikit inti pati tazkirah beliau.
Dalam kes ini, saya ingat benar penekanan beliau, bahawa berwuduk itu bertujuan untuk menghapuskan dosa; yang dilakukan menggunakan anggota-anggota berkenaan. Maka pengambilan wuduk yang sempurna akan menjadikan seseorang hamba bersih dan suci semasa mengadap Allah melalui bersolat. Kata beliau, setiap yang dilakukan dalam berwuduk ada kepentingannya. Tanpa menyentuh rukun dan sunatnya, saya ingat beberapa huraian beliau, misalnya, berkumur hendaklah sampai ke kerongkong untuk membersihkan kekotoran, seluruh muka hendaklah dibasuh sampai ke bawah dagu, rambut hendaklah dibasahi sampai airnya meresapi kulit kepala, tangan dan lengan dibasahi rata sampai ke siku, jari-jari tangan diratakan air sepenuhnya sampai ke kuku, begitu juga dengan kaki dan jari-jarinya. Selepas selesai mengambil wuduk, iringilah dengan doanya. Huraian beliau itu menjadi lebih jelas kerana diikuti dengan demonstrasinya sekali.
Menyentuh solat, beliau antara lain menekankan tentang rukun-rukunnya. Sebagai contoh, rukun sujud hendaklah dilakukan dengan betul; dahi hendaklah mencecah tempat sujud, jari-jari tangan direnggangkan sedikit dan diletakkan rapat-rapat pada lantai, lutut dan ibu jari kaki betul-betul mencecah lantai dan lamanya hendaklah memadai untuk membacakan bacaannya. Semasa bersujud, elok berdoa hajat di hati. Beliau juga menerangkan bahawa pergerakan solat boleh menyumbangkan kesihatan jasmani. Tambah beliau lagi, solat yang didirikan sempurna akan menjamin kehidupan yang diberkati.
Sesi-sesi ceramah itu tidaklah lama, sekadar 15 hingga 20 minit, atau lebih sedikit jika ada soalan dikemukakan.
(Nota: Seperti yang diceritakan oleh isteriku).
No comments:
Post a Comment