Wednesday, 16 August 2017

Umrah (25 (Addendum 1)

Umrah 25 (Addendum 1 - umrah mukminah)
Ibadat wanita
Hari kedua di Mekah, saya menuju Masjidul Haram seawal pukul tiga pagi. Ini masa yang kami jadualkan bersama-sama - saya dan suami. Kami beriringan ke masjid. Hanya apabila sudah memasuki masjid kami berpisah, menuju tempat pilihan masing-masing. Mulai sehari atau dua hari kemudian, kami lebih kerap berasingan ke masjid, sungguhpun masanya hampir-hampir serentak. Sebenarnya saya sendiri tidak familiar dengan tempat-tempat atau ruang-ruang solat khusus untuk jemaah perempuan. Saya tidak ada masa untuk menerokai ruang-ruang itu terlebih dahulu.
Yang jelas secara umumnya orang-orang perempuan tidak boleh bersolat bercampur-baur dengan orang-orang lelaki. Pun saya perhatikan ada juga jemaah yang berdegil, mencuba sedaya upaya duduk bersama-sama atau berdekatan pasangan masing-masing. Biasa saya lihat malah mengalaminya sendiri, pasukan keselamatan menghalau para jemaah perempuan yang cuba bersolat di tempat yang ramai diduduki oleh kaum lelaki (kadang-kadang berlaku juga di dataran Kaabah). Terasa sekali terhimpitnya kami untuk beribadat dengan tenang dan selesa. Akur dengan sekatan yang berkuat kuasa, saya mengenal pasti tempat atau ruang solat yang disediakan khusus untuk muslimah. Baharulah maksud beribadat tanpa gangguan terpenuhi.
Saya telah bertekad memanfaatkan kehadiran di Mekah. Sedaya-upaya saya akan berulang-alik beribadat di masjid setiap waktu solat fardu. Tetapi, adakah perlu dilakukan secara berteman atau bersendirian? Penilaian awal memberi panduan. Sayangnya, tiada di kalangan jemaah wanita lain yang serombongan boleh dijadikan teman-teman sehaluan. Ada beberapa sebab. Dari segi usia kami ada perbezaan. Dari segi pembahagian bilik-bilik sebahagian diantara kami berasingan. Dari segi keupayaan fizikal masing-masing ada kekurangan sendiri-sendiri; ada yang perlu dipimpin atau dibimbing untuk bergerak selesa. Ada menghadapi masalah kesihatan. Kekurangan atau kelainan itu menjadikan kesediaan dan keupayaan beramal tidak setara, terbatas. Kebergantungan untuk bergerak ke sana sini sangat membatasi ketenangan beribadat peribadi. Maknanya, bukan mudah beramal secara berkumpulan. Ada banyak karenah yang harus dihadapi dan diatasi.
Ternyata bahawa para jemaah wanita berkenaan mempunyai keutamaan masing-masing. Masa untuk ke masjid pun tidak sama. Masa mereka makan bersama-sama suami berlainan. Persediaan dan bekalan ilmu pengetahuan beramal berterusan untuk sesuatu tempoh yang lama pun tidak sama. Pendek kata tidak mudah untuk bersepakat dan menjalin persefahaman dalam hal ini. Yang hendak saya lakukan ialah mewujudkan suasana beramal yang paling kondusif. Dengan begini, matlamat datang berumrah lebih mudah dilakukan seupaya diri sendiri.
Saya sebenarnya semenjak dari rumah lagi telah menetapkan rutin harian selama berada dalam Masjidul Haram. Selain datang awal, dan memilih ruang solat, pada umumnya rutin amalan saya termasuklah melakukan solat Qiamullail (seperti solat hajat, solat taubat, solat tahajjud, zikir, dan selawat). Sebahagian ini telah biasa dilakukan bahkan menjadi amalan hampir-hampir setiap hari di rumah pun, sejak sekian lama. Cuma lagi, di Mekah, intensitinya meningkat, menyedari fadilatnya yang berlipat kali ganda. Itulah yang dilakukan setiap hari sebelum masuknya waktu Subuh.
Apabila selesai solat sunat Fajar dan solat Subuh, berwirid dan membaca Al Quran saya akan balik ke hotel. Saya dan suami telah berjanji untuk bertemu setiap waktu makan di Restoran D’Saji. Kami bersarapan bersama-sama. Selepas berehat seketika di bilik hotel, saya akan turun semula menuju ke masjid. Ruang solat yang biasa saya pilih terletak di tingkat bawah tidak jauh dengan jalan atau laluan ke Kaabah. Tetapi oleh kerana ia berdinding dihadapannya, Kaabah tidak dapat dilihat. Di sini, lantainya dihampari permaidani (sejadah), berhawa dingin. Saya anggarkan ruang ini boleh menampung ramai jemaah. Ruang ini sentiasa tersedia jika kita datang awal. Terkadang, pada hari tertentu, apabila ruang ini penuh, saya akan beralih ke tempat solat muslimah yang tidak jauh dari tangga dan eskalator, sama ada di tingkat satu atau di tingkat bawah.
Masa ibadat di sebelah pagi saya penuhi dengan melakukan solat Duha, Tasbih, zikir, selawat dan mengaji Al Quran. Apabila selesai melakukan ibadat tersebut saya akan berpindah ke dataran Kaabah. Dari situ pintu Kaabah jelas kelihatan. Di kalangan jemaah wanita, ruang ini kebanyakan dipenuhi oleh jemaah berbangsa Arab. Tidak pernah saya temui jemaah Malaysia. Di sini saya melakukan solat sunat hajat diikuti berdoa sepuas hati, memohon segala-galanya: keampunan, kesejahteraan hidup, kemurahan rezeki, kebahagiaan hidup berumahtangga, keselamatan dan keberkatan hidup anak-anak dan cucu-cucu. Tidak juga dilupakan saya mendoakan keampunan Ilahi terhadap kedua-dua ibubapa dan saudara mara terdekat . Apabila bahang mentari siang mulai terasa, lebih kurang pukul 10 - 10.30 pagi, saya beredar kembali ke hotel.
Di bilik hotel saya akan mandi sepuas-puasnya. Ini sangat perlu. Maklumlah mandian terakhir dilakukan sebelum datang ke masjid pada pukul tiga pagi. Saya akan juga meluangkan masa bercakap-cakap ringan dengan rakan-rakan sebilik. Saya sengaja mengelakkan berbual-bual panjang dengan mereka kerana tidak mahu terikat, sama ada menjadi ‘pembantu’ atau sumber ‘rujukan’ pelbagai perkara yang berpotensi menjejaskan kebebasan matlamat utama. Tanda-tanda awal ke arah ini segera saya kesani dan pantas mengambil langkah sewajarnya. Saya juga akan mengambil sedikit waktu untuk merehatkan diri dengan berbaring. Jarang sekali saya tertidur nyenyak. Lebih kurang sejam kemudian, saya bangkit lalu mandi sekali lagi, berpakaian dan bertolak ke masjid untuk solat fardu Zohor.
Apabila selesai solat Zohor saya dan suami seperti dijanjikan akan makan tengah hari bersama-sama di Restoran D’Saji. Makanan pakej umrah itu saya anggap memadai. Selepas berehat sepadanya, saya akan ke masjid untuk solat fardu Asar dan balik semula ke bilik dan kemudian datang lagi ke masjid untuk bersolat Maghrib dan Isyak. Masa-masa terluang yang ada sementara masuk waktu-waktu solat fardu saya manfaatkan dengan membaca zikir dan doa-doa dalam ‘kitab’ kumpulan doa yang memang saya pilih dan sediakan sendiri sebelum meninggalkan tanah air. Buku kompilasi petikan daripada pelbagai sumber ini sentiasa dibawa bersama-sama setiap kali datang di masjid.
(Nota: Seperti yang diceritakan oleh isteriku).

No comments:

Post a Comment