Wednesday, 16 August 2017

Umrah (29)

Umrah 29
Hujan di Masjidul Haram
Hari penuh terakhir di Mekah jatuh pada hari Jumaat, 28 April 2017= 1 Syaaban 1438. Seperti biasa, sebaik selesai solat Asar, aku balik ke bilik. Dari tingkat 4 hotel itu aku dapat lihat hujan turun dengan lebat. Serentak itu, angin bertiup kencang. Jubah-jubah yang dipakai sama ada oleh lelaki atau perempuan berkibar-kibar bak bendera. Di dataran masjid kelihatan kun-kun atau segi-segi tiga plastik penghadang yang banyak diletakkan di situ secara teraturnya sebahagiannya ditolak angin jauh dari tempat asalnya. Salah satu dua nyaris-nyaris merempuh beberapa jemaah. Hadangan-hadangan itu jadi berselerak.
Mereka yang terperangkap di dataran yang luas ketika itu tidak terlalu ramai. Orang-orang perempuan begitu berhati-hati berjalan dalam tiupan angin yang kencang itu. Mereka harus memegang jubah atau pakaian masing-masing kuat-kuat bagi mengelakkan terselak. Dan memang pun ada yang terselak pakaian mereka. Ada juga kulihat pejalan kaki yang tergelincir dan terjatuh. Kelihatan juga mereka berjalan berpegangan antara satu sama lain, saling topang-menopang, untuk mempastikan tidak terjatuh. Aku berasa bersyukur dalam hati kerana terlepas daripada mengalami secara langsung peristiwa itu. Kalau aku lewat keluar dari masjid tadi, paling kurang pakaian akan menjadi basah kuyup.
Aku tidak dapat mengingati secara tepat lamanya hujan dan angin itu. Yang pasti ketika aku dan isteri turun semula untuk ke masjid bagi solat Maghrib, suasananya telah hampir kembali seperti biasa. Hujan tiada lagi tetapi angin masih ada walaupun telah sangat reda. Kami masih tetap berjalan berhati-hati kerana dataran masih lembab dan sedikit licin. Baiknya, hawa di situ lebih sejuk dan nyaman.
Aku tidak ingat sangat keadaan jemaah yang bertawaf dalam Masjidul Haram ketika angin dan hujan itu. Sungguhpun status semasa tawaf sentiasa disiarkan secara langsung dan boleh ditonton melalui TV dalam bilik, malangnya aku tidak dapat mengingatinya semula untuk diperikan.

No comments:

Post a Comment