Wednesday, 16 August 2017

Ziarah (3)



Ziarah (3)
R & R
Bas singgah di pertengahan perjalanan. Barangkali selepas kami berada tiga jam di dalamnya. Puas dengan gejolakan fikiran atau lamunan peribadi masing-masing. Di persinggahan ini sudah banyak bas lain yang tiba merehatkan para penumpangnya. Di tempat ini ada masjid, bilik air, kedai makan dan dua tiga gerai menjaja batu permata orang Afghanistan/Pakistan (?), satu gerai bergerak menjual bijirin milik Arab marhaen. Berhampiran ada stesen minyak. Tiada tarikan lain. Tempat ini bukan produk pelancungan. Ia hanya tempat persinggahan kerana strategik letaknya, di laluan utama dua kota suci.
Mutawif kami memberitahu bas akan singgah lebih kurang 20 minit. Hampir semua ahli rombongan turun menuju masjid untuk bersolat Qasar Asar. Aku sendiri tidak bermasalah mendirikan solat tanpa perlu ke bilik air lebih dahulu kerana sedia berwuduk. Dewan solat utamanya, iaitu untuk lelaki dikira lapang memadai menampung para jemaah. Di kalangan mereka, ada yang solat berimam dan ada juga melakukannya bersendirian, termasuk aku. Dewan solat untuk jemaah perempuan yang berhadang jauh lebih sempit.
Ramai orang bertumpu ke bilik air, terutama kaum wanita. Mereka kelihatan bersesakan dan beratur di situ. Aku tidak meninjau sendiri keadaan sebenar kerana tidak perlu. Hanya tentang hal ini aku sentiasa ingat pengalaman lama, ketika datang mengerjakan haji. Dahulu, tempat-tempat berwuduk atau kemudahan bilik air jauh daripada memuaskan, bahkan menjijikkan. Barangkali aspek ini telah diperbaiki. Aku kurang pasti. Tetapi R menyaksikan. Beliau memberitahu, kemudahan berkenaan masih sangat mundur. Bilangan mangkuk tandas jauh daripada mencukupi. Tidak langsung boleh menampung keperluan. Tandas itu tidak diselenggara dengan baik. Lantainya adalah simen, dan ada pula simen atau lantai bahagian mangkuknya yang telah pecah-pecah. Ia tidak menyelesakan.
Air yang disediakan pun tidak cukup kuat alirannya. Pendek kata, kemudahan itu dan lain-lainnya mempamerkan sikap atau mentaliti, sangat memalukan negara tuan rumah. R bahkan menyebut bahawa kelemahan perkhidmatan itu sekali gus membuktikan kegagalan pihak berwajib menyediakan perkhidmatan terbaik kepada tetamu Allah. Berduyung-duyung manusia berkunjung setiap masa, tidak putus-putus, namun sekian lama penjaganya gagal menyediakan perkhidmatan yang wajar.
Aku terkenang kepada pengalaman 17 tahun lalu. Kenangan tidak manis itu bukan pengalaman aku seorang. Demikian itu dialami ramai tetamu Allah yang lain. Maka, seharusnya menjadi isyarat bagi penyedia kemudahan awam lebih berkebajikan pemikiran dan pelan tindakannya. Mereka tidak boleh memejamkan mata, terus mengabaikannya.
Tempoh hampir dua dekad adalah satu senggang masa yang lama dan banyak penambahbaikan boleh dilakukan. Sementelahan pula, kemudahan tandas bukanlah projek yang kompleks dan raksasa sifatnya. Sepatutnya semuanya yang berunsur kemunduran itu sudah berkubur dan kemudahan berkenaan bertukar wajah, mencapai tahap kelas pertama . Itulah yang aku jangkakan. Bukankah agama Islam sukakan yang bersih, kebersihan sebahagian daripada iman?

Image may contain: sky and outdoor

Hall Mann Betul pengalaman saya sejak tunaikan haji 2002 hingga beberapa kalu umrah sehingga awal tahun ini keadaan bilik air tetap sama, kotor, busuk dan tidak selesa...jika menara jam boleh dibina..kenapa tandas2 masih tidak terjaga dan diperbaikki....ini mentaliti pemerintah juga yg tentu tidak pernah singgah disitu pun...surau oun berhabuk basah....sampai bila???

LikeShow More Reactions
Reply
1
13 July at 09:07
Manage
Pak Nan Kemudahan di r n r di hiway antara madinah dgn makkah sgt tidak memuaskan..tidak nampak petugas kebersihan di situ..bekalan air sgt mendukacitakan..malah apabila mengintai ke dalam tandas segera dtg mual loya dan jijik..amat jauh beza antara hiway di sana dgn hiway plus..syukur kita di sini...agaknya pemetintah di sana tak ambil pusing...kotor atau bersih..selesa atau tidak...orang tetap datang menyahut seruan Allah

LikeShow More Reactions
Reply
2
13 July at 09:13
Manage
Ahmad Said Terima kasih kepada kawan-kawan yang begitu prihatin dengan kebersihan tandas, terutama di Tanah Suci. Saya ada pengalaman yang agak mencukupi dalam menilai kebersihan tandas kerana pernah beberapa tahun menjadi ahli panel penilai dalam Pertandingan Kebersihan Masjid dan juga Pertandingan Keindahan Kampung ketika bertugas di Terengganu pada akhir 1980-an dan awal 1990-an. Ketika itupun Malaysia tidak dapat mengakui sebagai telah mencapai status maju dalam aspek pertandasan, bahkan sampai sekarang pun di banyak tempat lagi tidak mencapai piawai. Tetapi apabila pada tahun 2017 kita dapati keadaan tandas R & R di sebuah negara Islam, apalagi tempat yang menjadi kunjungan jutaan umat Islam seluruh dunia masih tidak menapak maju sepadan abad ke-21, saya bertanggapan masih jauh lagi kita perlu memperbaiki diri supaya tidak berterusan diselekehi.

No comments:

Post a Comment