Ziarah (6)
Saf utama di Masjid Nabawi
Dewan makan di Tingkat M itu telah sedia dikerumuni ahli-ahli rombongan ziarah yang lain. Mereka dari Baling, Kedah yang datang dibiayai oleh Ahli Parlimen kawasan tersebut. Puluhan bilangannya. Selain tambang kapal terbang pergi-balik, mereka juga diberi sejumlah wang saku untuk perbelanjaan selama berziarah di Madinah dan berumrah di Mekah. Mereka tiba dari KLIA terus ke Madinah dan akan bertolak dengan bas ke Mekah pada hari rombongan kami akan bertolak ke Jedah beberapa hari lagi. Aku difahamkan ada kriteria-kriteria tertentu digunakan bagi memilih mereka oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab mengendalikan program dan pakej itu. Sungguh bertuah mereka. Semua ceria menikmati hidangan makan malam sambil berbual-bual seakan berada di kampung sendiri. Kita boleh rasa dan lihat betapa tinggi sanjungan mereka terhadap tokoh yang prihatin itu.
Rombongan kami makan menu yang sama. Ia masakan Malaysia. Lengkap dengan makanan, minuman dan buahannya. Pada umumnya hidangan adalah memuaskan. Kita tidak akan boleh mendakwa kekurangannya jika bersikap positif. Bahawa kita sebenarnya datang berziarah atau beribadat. Untuk menikmati makan malam itu semua kami beratur membawa pinggan dan memenuhkannya mengikut sukatan sendiri. Kalau sesiapa perlu menambah dia boleh melakukannya tanpa sekatan. Pendek kata, ukur muatan makanan serasi kelaziman atau keupayaan peribadi.
Perjalanan yang jauh memenatkan badan. Tuntutan perut sudah terlangsai. Kami perlu berehat kerana masing-masing tentu ingin bangun pagi-pagi untuk ke Masjid Nabawi. Kami berkumpul di sudut yang sesuai untuk diberi taklimat dan penyerahan kunci bilik masing-masing. Mutawif memberitahu dia terpaksa menyesuaikan pengelompokan ahli-ahli rombongan berdasarkan bilik-bilik yang tersedia. Bilik-bilik yang ada tidak sebanyak yang tersedia di Mekah. Ini bermakna dalam keadaan tertentu ada kelompok yang lebih banyak bilangannya berbanding dengan kelompok di Mekah. Pun, aku sendiri termasuk dalam kelompok tiga sebilik. Ia bagaimana pun tidak terlebih selesanya daripada di Mekah. Ada dua bilik lain dalam ruang besar itu. Bilik air pula ada dua. Kemudahan TV disediakan.
Isteriku R, yang di Mekah berkongsi dengan tiga orang kini berkongsi dengan lima orang lain. Bilik beliau hanya boleh muat 5 katil disusun rapat. Satu tilam dihamparkan untuk menampung penginap keenam. Isteri kontraktor dari Kajang, yang sedia sebilik dengan R semasa di Mekah bersukarela mengisi slot tilam itu.
Masing-masing mengunci alarm henfon untuk menggera diri bangun awal. Aku sudahpun bangun sepuluh minit sebelum pukul tiga pagi. Setelah mandi dan berjubah siap aku dan rakan sebelah katil, seorang kontraktor dari Kajang turun untuk ke masjid. R dengan seorang lagi kawan baru sebilik dari Kedah sudah pun ada di lounge bawah hotel dan kami bersama-sama berjalan menuju masjid. Pada masa itu, sudah ada juga para jemaah lain yang turut melakukan seperti kami.
Dari hotel hingga ke pintu pagar mengambil masa lebih kurang 7-10 minit berjalan kaki. Laluannya lurus merentas tiga jalan utama. Ketika memasuki pintu pagar Bilangan 9 kami perhatikan sudah ramai juga para jemaah, di dataran masjid. Mereka duduk di bawah payung raksasa yang sedia terpasang. Aku tinggalkan R untuk mencari sendiri ruang solat yang sesuai. Dalam hati sedikit terkilan tidak dapat membantu sekurang-kurangnya memberikan petunjuk tentang ruang-ruang solat yang terbuka kepada wanita. Maklumlah, kami baru tiba dan belum sempat meninjau sekitaran atau tatatur keseluruhan masjid. Kedatangan pertama dahulu sudah lama. Sekarang perubahan banyak berlaku serentak menukarkan sekitaran masjid dengan wajah yang sangat berbeza sekali gus lebih menarik. Perubahan ini tidak diambil kira ketika turun dari hotel untuk mengenal pasti ruang-ruang solat bakal diduduki. Pun, seharusnya pada waktu seawal itu, pemilihan ruang-ruang solat tidaklah menimbulkan kesukaran, baik untuk lelaki mahupun perempuan. Aku percaya R boleh berdikari.
Aku dan Shamsul kontraktor, berjalan terus mencari ruang solat di dalam masjid. Waktu seawal itu tentulah masih ada tersedia ruang untuk menampung kami berdua. Dari saf paling belakang dalam masjid ternyata ada ruang-ruang di sana sini tersedia. Semakin kami berjalan ke saf-saf di hadapan sentiasa ada ruang-ruangnya. Kami akhirnya singgah mengambil tempat di ruang yang tidak jauh dari ruang berpayung berhadapan dengan masjid yang asal tempat terletaknya Raudhah dan makam Rasulullah S.A.W. Sebelum duduk aku mendirikan solat sunat tahyatul masjid dan kemudian membaca pelbagai wirid dan doa terkandung dalam buku yang dibawa bersama.
Pengalaman pagi ini membuktikan bahawa sentiasa ada ruang-ruang solat pada saf-saf di hadapan kalau kita mahu mencarinya. Dan ramai juga para jemaah yang sudah berpuas hati mengambil ruang-ruang solat di belakang. Tentunya dilakukan atas pilihan sendiri secara sedar, atau boleh jadi mereka tersalah jangka bahawa ruang solat di hadapan telah dipenuhi berdasarkan tanggapan bahawa ruang-ruang solat di saf-saf belakang kelihatan hampir penuh.
R, yang kutanyai kemudian memberitahu dia pun mencari ruang solat Subuh dalam masjid. Mujurlah dia bersedia dan berani ke hadapan atas budi bicara sendiri. Aku, dan aku pun yakin R, berasa rugi bersolat di belakang atau di dataran, tidak dalam lingkungan dinding masjid. Seawal pagi kita bangkit untuk beribadat, tentulah tidak setimpal kepuasannya jika memilih tempat yang jauh dari pusat tumpuan jemaah yang majoriti atau yang paling berdedikasi. Tujuan utama kita ialah beramal dalam masjid suci kerana ganjaran pahala yang berlipat kali. Termasuk lagi, berziarah makam Rasulullah S.A.W. dan dua sahabat terpuji yang sedang bersemadi. Semangat dan kegigihan tekad seharusnya meliputi bentuk pengisian serba-serbi amalnya dan keutamaan ruang tempat melakukannya.
No comments:
Post a Comment