Tuesday, 15 August 2017

Pantulan C/01/3/2017: Sajak Siti Zaleha M. Hashim, “Jika Benar Perahu Ini”

Pantulan C/01/3/2017: Kalis emosi
Tidaklah sukar untuk menyaring amanat Siti Zaleha M. Hashim, seperti tersirat dalam, “Jika Benar Perahu Ini”, Dewan Sastera, Disember 2012, muka surat 60. Terkesan kejujuran, bahawa kita seharusnya membalas budi orang yang mencurahinya sampai kita berjaya kini. Adalah sesuatu yang tidak wajar jika budi baik dibalas sebaliknya. Ertinya, tentulah janggal mendukung prinsip bahawa kebaktian yang ditabur sepanjang usia kita segera mahu dilupakan apabila penaungnya sudah tidak lagi memihaki kita. Umumnya demikianlah.
Persoalan di hadapan kita ini adalah sesuatu yang nyata sedang kita semua alami masa kini. Hakikatnya, perkara yang dipersoalkan, aku kira perkara yang besar. Bukan yang remeh-temeh, yang boleh diperingankan. Ia melibatkan kesejahteraan hidup kita semua, dan generasi-generasi yang akan datang juga. Perkara-perkara kehormatan, jati diri, kelangsungan, dan lain-lain lagi sedemikian adalah perkara-perkara raksasa yang tidak harus diambil mudah. Penyelesaiannya bukan dengan sekadar mengakuri sesuka hati. Ia janganlah dianggap isu terpinggir dan dan kita menanti sampai ke akhir untuk menyuarakan pandangan peribadi; di peti undi sekali-sekali.
Perkara-perkara berkaitan hal ehwal negara, bangsa, kepemimpinan, dan segergasinya terkadang bukan boleh selamanya dirundingi tanpa berhenti. Kita tahu, malah semuanya arif, bahawa masing-masing pihak ada pendirian. Masing-masing tetap mengakui anutan sendiri lebih menepati. Ya, dia, yang pemurah dan berjasa itu pun tetap dengan pegangan tanpa mahu mengalah lagi. Dan kita, setelah menjadi terpelajar dan bijaksana, tanpa menafikan, atas belaian keprihatinannya, tidak pula boleh bertolak-ansur, untuk terus mengekori. Ya, pastinya tidak dalam semua hal. Sekaranglah untuk kita menyatakan, “Sudah sampai masa untuk aku belayar ke destinasi dengan kapal yang kalis serba-serbi.”
Maknanya, pendekatan bukan dalam semua perkara seharusnya sama. Dalam perkara-perkara tertentu, apalagi yang memberi impak yang merobah wajah, mencalar maruah, kita seharusnya memegang falsafah, mengukur faedah, bermatlamat menerbitkan penyelesaian paling sah. Sejarah telah banyak melimpahkan pengajaran. Namun, mentafsir sejarah tidak semudah mendengar ceramah-ceramah untuk kita mengutip, memilih dan merumuskan pendirian yang paling bersesuaian. Sama ada dengan pendekatan begitu bakal timbul ketenteraman atau pertarungan, sejarah jauh sekali membenihkan formula atau petua paling menepati. Tetapi cabaran dan implikasinya dengan terus tunduk menyipu tidak boleh diketepikan. Sebenar-benarnya, kita mesti hadapi dengan berani memilih arah haluan.

No comments:

Post a Comment