Wednesday, 16 August 2017

Ziarah (4)

Ziarah (4)
Madinah masih jauh
Selepas solat aku segera meninjau sekitaran. Di kejauhan yang mengelilingi tempat itu, gunung-ganang terpacak teguh dengan keperangan warna melatari semuanya – gaung, batu-batan, kesaujanaan pemandangan. Ia tetap menarik pada pandangan mata serentak mengimbau dan menguja minda memanfaati pengalaman itu. Bagiku latar belakang sejarah agama Islamlah yang membuakkan fikiran.
Aku meninjau seminit di gerai batu permata. Pamerannya tidaklah hebat. Seperti juga dengan gerai-gerai batu permata jalanan yang pernah ditembungi. Yang lebih kupersoalkan ialah kenapa orang luar (Afghanistan, Pakistan?) yang berjaja? Mungkin mereka terdesak beralih tempat mencari rezeki kerana di negara sendiri peluang tidak terbuka. Boleh jadi, orang-orang tempatan tidak bersemangat berniaga sebagai penjaja barangan tersebut kerana mereka tidak mengalami kesukaran hidup yang serupa. Bukan budaya mereka. Tentulah ada sebab-sebab lain yang memungkinkan begitu.
R, kuperhatikan, sebaik turun daripada bas tadi, cuba meninjau gerai bertolak/bergerak penjaja Arab yang antara lain menjual serbuk habbatus sauda, dan beberapa botol 500 ml madu, jelas tiruan. Gerai itu hadir di depan bas. R mahu mengetahui harga bahan itu. Kelak mudah membandingkannya dengan harga di Madinah bila tiba masanya membeli. Bahan-bahan demikian menjadi minatnya. Ada projek khas sedang diusahakannya. Tetapi gerai itu sentiasa beralih. Apabila kami selesai bersolat, gerai itu sudah hilang entah ke mana. Dan R memberitahu kemudian beliau gagal mencapai hasratnya.
Aku sendiri berseorangan melajak ke restoran yang ada. Ramai ahli-ahli rombongan lain mengerumuninya. Ada yang sedang minum-minum di meja yang disediakan. Dan ada yang duduk-duduk bertenggek mengikut kesesuaian keadaan. Aku tidak bercadang untuk membeli sebarang keperluan. Perut masih selesa dan minuman mineral pun masih berbekal. Hawa dan suasana di situ tidak selesa. Panas dan berhabuk. Bahang enjin kenderaan yang berterusan dihidupkan menambah cengkaman yang memeritkan kepada para penumpang yang singgah.
Kumpulan kami kukira sangat berdisiplin. Semua ahli rombongan cukup menjaga jadual waktu yang ditetapkan. Seharusnya begitu. Tepat pada waktunya bas bertolak. Madinah masih lebih kurang 200 kilometer di hadapan. Di kiri kanan lebuhraya, pemandangannya tetap tidak banyak berbeza. Mutawif membekalkan sebotol air minuman setiap seorang dan dua biji kuih ringan untuk mengalas perut. Kukira ia pemberian yang mesra pelanggan, bijak, dan menceriakan. Ia selingan amat bertepatan sebelum tiba masa sebenarnya untuk makan malam.

No comments:

Post a Comment