Wednesday, 16 August 2017

Umrah (24)

Umrah (24)
Tawaf widak
Pada malam Sabtu, selepas makan malam kami diminta berkumpul di ruang laluan berdekatan lif Tingkat 4, untuk taklimat ziarah Madinah. Yang hadir, kalau lelaki duduk bersila dan perempuan pula bersimpuh. Ya, di laluan bilik-bilik hotel. Mutawif, menekankan dua perkara utama, tawaf widak dan urusan berlepas daripada hotel. Semasa taklimat, terkadang ada penginap hotel melalui majlis kami kerana itulah satu-satu laluannya. Sebegitu pula pakej kami. Dan inilah aspek yang paling koman berbanding semua aspek yang lain yang kuanggap cemerlang.
Mutawif memberitahu bas ke Madinah akan bertolak pada pukul satu tengah hari. Beliau mencadangkan semua ahli rombongan mulai melakukan tawaf widak mulai pukul 10 pagi. Semua bagasi ahli rombongan dikehendaki diletakkan di ruangan lif di Tingkat 4. Ada petugas yang akan membawanya ke tempat bas menunggu. Kami dinasihati tidak lagi melakukan perkara-perkara yang mencacatkan tawaf widak. Dicontohkan, membeli-belah jangan sekali dilakukan. Oleh kerana, waktu Zohor masuk sebelum kami dijadualkan berlepas, kami dinasihati solat di hotel bagi mengelakkan masalah kesesakan sekiranya bersolat di masjid. Apabila ahli-ahli rombongan telah menyelesaikan aktiviti yang dinyatakan, semua diminta menunggu di Tingkat RE sehingga arahan menaiki bas diberikan.
Esoknya, hari Sabtu, 29 April 2017, aku ke masjid seperti biasa untuk berqiamullail dan solat Subuh. Aku dan R bersarapan di Restoran D’Saji selepas menepati waktu temujanji seperti selalu. Teh Tarik yang disediakan percuma tidak berbeza dengan yang ada di Malaysia. Selama di Mekah, minuman ini tidak pernah tercicir daripada menu atau sajian yang terhidang. Sedangkan, kalau di Malaysia, aku sudah lupa kali terakhir menikmatinya. Hakikatnya, sudah lama kerana ia bukan minuman rutin di rumah.
Lebih kurang 10.15 pagi aku dan R beriringan ke Masjidul Haram. Kami memasukinya melalui pintu Malik Fahd, salah satu yang terdekat dengan pintu utama hotel Safwah. Kemudian kami turun ke dataran Kaabah melalui tangga di sudut Yamani. Laluan itu sudah tidak asing lagi. Kami telah melakukan tiga kali umrah dan aku sendiri melakukan sekali tawaf sunat dengan mendekatinya melalui tangga yang sama.
Dengan penuh tertib kami menuju garisan sudut Hajarul Aswad. Di tangan kiri ada naskhah kecil kumpulan doa, sambil tangan kananku memegang lengan R agar tidak terpisah. Kami berniat sambil melambai tangan ke Hajarul Aswad. Ramai jumaah lain melakukan yang serupa. Bacaan mengelilingi Kaabah ini tidak berbeza dengan yang kami lakukan ketika bertawaf umrah kali kedua tempoh hari. Tetapi ada kelainan yang kualami. Dengan membaca doa-doa yang tercatat itu, perasaan aku tambah terharu sampai pada ketikanya menjadi sebak beriringan aliran air mata, suara yang tersekat-sekat dan badan yang menggigil-gigil. Ia di luar kawalan. Ia datang sendiri. Adakah kerana aku menggunakan bahasa Melayu ataukah disebabkan faktor lain? Air mata, sebakan, suara terputus, dan gigilan ketika bertawaf adalah yang pertama kualami. Tidak pernah berlaku demikian sebelum ini.
Aku mentafsirkan sendiri, kesayuan dan keterharuan itu kerana menyedari betapa agongnya Allah SWT. Sebegitu ramai manusia datang menyahut seruan-Nya sekali gus mengakui kekerdilan dan kebergantungan kepada kekuasaan itu. Bahawa manusia tiada apa-apa tanpa mengakui kebesaran Allah walau betapa mulia dan tinggi darjatnya mengikut ukuran dunia.
Aku cukup puas menyelesaikan kewajipan tawaf itu.
Yakin tiada kekurangan pun dengan tawaf yang dilakukan kami bersolat sunat tawaf di sekitaran dataran Kaabah. Waktu pagi itu tiada kesukaran mendapatkan ruang bersolat. R mengambil masa yang lebih lama menyelesaikan solat dan doanya. Aku berdiri tidak jauh di belakang menunggu beliau selesai. Kami beriringan keluar dari masjid, mungkin lebih kurang pukul 11.15 pagi.
Kami kembali ke bilik masing-masing untuk menunggu pek makan tengah hari tersedia, masuk waktu solat Zohor dan ketibaan bas.
Sebahagian ahli-ahli rombongan telah juga menyelesaikan tawaf widak mereka. Aku sendiri tidak berlamaan di bilik kerana lebih suka duduk-duduk di Tingkat RE sebelum ke dewan solat hotel di Tingkat 5 (?). Dewan itu besar juga, mungkin boleh memuatkan lebih 1,000 jemaah. Ia mengadap Masjidul Haram dan melalui dinding cerminnya masjid terpampang di depan mata. Kami berjemaah serentak dan berimamkan imam Masjidul Haram. Sistem pembesar suara adalah dihubungi secara terus dari masjid itu.
Pernah juga aku dengar desas-desus pandangan seorang mutawif lain yang beranggapan tindakan berjemaah berimamkan imam Masjidul Haram itu tidak betul. Mutawif kami tidak berpendirian begitu. Dia malah menghujahkan bahawa tentulah pihak berkuasa telah meneliti isu ini. Aku mengekori majoriti di situ.
Selepas solat aku ke tingkat 2 mengambil pek makanan di Restoran D’Saji. Kami bercadang makan tengah hari dalam bas. Ada sedikit kelewatan bertolak kerana bas tiba terkemudian daripada waktu yang ditentukan. Tiada lain yang dilakukan kecuali menunggu. Apabila semuanya tersedia, kami diminta turun menaiki bas yang berada lebih kurang 100 meter berjalan kaki dari hotel. Bas-bas lain pun berderetan menunggu penumpang masing-masing di situ. Apabila semua teratur, bas kami pun bergerak meninggalkan kota Mekah menuju Kota Madinah. Cuaca di luar panas terik. Di dalam bas tidak terasa kesannya kerana berhawa dingin.

No comments:

Post a Comment