Ziarah 5
‘Muhajirin’ tiba
Semakin lama semakin bertambah tompokan hijauan di sebelah kiri dan kanan lebuhraya. Pokok-pokok kurma sudah mulai menyerlah. Juga pokok-pokok lain yang ditanam sebagai landskap. Kawasan kediaman pun boleh dilihat, menunjukkan arah yang kami tuju adalah suatu bandar tempat tumpuan pelbagai kegiatan – ekonomi, sosial, pentadbiran dan sebagainya. Pastilah demikian. Masyarakat yang besar jumlahnya memerlukan pelbagai kemudahan – kawasan perniagaan, pusat pendidikan, kesihatan, rekreasi, keagamaan, dan pelbagai perkhidmatan keperluan kehidupan moden.
Mutawif memberitahu kami pemandu bas akan cuba mengenal pasti tempat berhenti yang sesuai untuk menselesakan diri dan bersolat. Mentari yang dapat dilihat dari sebelah kiri bas sedang turun ke sebalik gunung. Cahayanya masih menyilaukan tetapi bertukar warnanya menandakan waktu senja kian mendekati malam. Aku cuba merakamkan pemandangan tetapi kamera henfon kurang canggih untuk mengabadikan keindahan sebenar. Namun ia masih boleh membantuku mengingatkan suasana sekitaran. Sebagai contoh, beberapa gambar itu diambil pada pukul 6.00 petang dan satu lagi pada pukul 6.24 petang dan seterusnya.
Waktu bas benar-benar singgah seperti dijanjikan, petang sudah pergi. Banyak bas dan kenderaan lain sudah ada di situ. Orang pun ramai. Aku berhati-berhati meninggalkan bas bimbang tidak dapat kembali semula dengan mudah. Warna dan nombor pendaftarannya kucatatkan. Aku bergegas ke bilik air kerana tidak berbuat begitu pada persinggahan awal. Minuman yang diambil menghilangkan dahaga, sungguhpun secara terkawal, memberi isyarat kepada badanku agar jangan dilengahkan lagi melepaskannya. Aku tidak mahu kelak duduk dalam keadaan tertekan kerana tidak menyahut segera tuntutan tabii yang nyata. Persepsi tandas yang buruk tidak dapat dielakkan dan dalam keadaan terdesak harus diterima. Tidak boleh tidak. Aku berjalan ke bilik air melalui pegerai-pegerai yang menjual pelbagai kekacang. Mereka becok menarik perhatian orang-orang yang lalu agar singgah membeli. Tidak nampak pun mereka tertarik secara mereaksi positif.
Dengan berjubah aku masuk. Bau hancing menendas hidung. Sungguhpun perlu beratur, aku benasib baik mencapai giliran lalu segera menyelesaikan hajat kecil. Kemudian aku mengambil wuduk pada pili yang disediakan berderetan pada dinding bilik air itu. Tiada masalah pancutan air melalui pili. Tekanannya dikira memuaskan. R memberitahu kemudian, bilik air dan tandas perempuan tetap tidak memuaskan sungguhpun lebih baik sedikit berbanding dengan yang ada di tempat persinggahan pertama.
Dalam dewan solat ramai juga orang sedang bersolat. Aku segera mendirikan solat jamak takdim Maghrib Isyak bersendirian. Tempat solat perempuan diasingkan menggunakan tabir. Mereka pun tidak kurang ramainya.
Aku segera ke tempat bas berhenti sebaik selesai solat. Beberapa orang ahli rombongan lelaki sudah ada menunggu di situ. Mereka berbual-bual sambil merokok. Isteriku belum tiba. Timbul kebimbanganku R sukar menemui bas kerana pencahayaan tidak cukup terang di sekitar medan parkir. Dengan menyedari R belum lagi berada di situ, aku pergi menunggu beliau berdekatan dengan masjid supaya dia tidak menghadapi masalah, terpinga-pinga mencari lokasi bas. Kebimbangan terhapus. Pun, tidak rugi berwaspada menghadapi sebarang kemungkinan.
Selepas setengah jam berhenti, bas kami bertolak menuju Madinah. Sepanjang lebuhraya tiada catatan menarik yang dapat kubuat. Apalagi penglihatan kian samar. Akhirnya kami memasuki kota suci Islam kedua itu. Tidak terlalu banyak kenderaan kelihatan di jalanraya. Tentulah orang-orang yang bekerja telah pulang ke kediaman masing-masing. Kedai-kedai atau bangunan perniagaan pun tidak lagi dikerumuni pelanggan-pelanggannya.
Akhirnya bas pun berhenti di depan Ansar New Palace Hotel. Di sinilah tempat kami bakal menginap. Mutawif memberitahu bahawa bagasi kami akan diurus sampai ke bilik hotel. Kami diberi arahan untuk ke dewan makan mengalas perut. Agihan bilik kami akan diatur oleh Mutawif selepas makan malam selesai.
Sedang ketika itu juga, aku perasan, sudah kelihatan para jemaah dalam rombongan yang tiba lebih awal di Madinah dan menginap di situ, pulang berjalan kaki dari Masjid Nabawi selepas selesai solat Isyak. Jarak hotel dengan Masjid Nabawi lebih kurang 200-250 meter.
No comments:
Post a Comment