Pantulan F/01/5/2017: Alpa
Aku akui tidaklah mendalami pengajian sampai mampu mentafsir tentang kejadian di sebalik pengusiran Adam dan Hawa ke dunia lantaran tipu daya Iblis. Bagaimana mereka terlajak mengambil keputusan mengingkari ketetapan Allah SWT sedangkan arahan itu jelas dan nyata adalah masih suatu tanda tanya! Dan mereka, lantaran itu terhukum, terhantar ke dunia menjalani kehidupan yang berlikuan untuk suatu tempoh yang amat panjang. Dan kita, keturunan mereka, walaupun diajari latar belakang maha tragedi itu, berterusan berbelah bahagi mentaati ajaran Pesuruh (SAW)-Nya sungguhpun peluang dan kesempatan sentiasa terbuka untuk menjadi insan yang bertakwa sebagai syarat diredhai-Nya.
Apabila aku membaca Siti Zainon Ismail, “Rezeki Bumi”, Dewan Sastera, Disember 2016, muka surat 27 (Lembaran Mastera), itulah yang pertama-tama terlintas di minda; kenapa, sedang elok-elok ceria bahagia menikmati kedudukan dan darjat yang teristimewa, tetap tergamak melelapkan mata lantaran bujukan dan kegagalan bersiap-siaga dalam apa juga suasana dan pesona pancaindera.
Maka kerana had-had pengetahuan yang termaklum, biarlah aku lebih memberati, sebahagian kata-kata Siti, “pabila kekayaan tiba/melupakan petaka…” yang telah diketahui (melalui penurunan para ilmuwan dan pembelajaran sendiri). Ya, keter”lupa”an inilah salah satu daripada punca-punca yang sering menjerumuskan, bahkan lebih-lebih lagi kejinya apabila melibatkan kelompok yang ternama – kerana berkuasa, ‘terpelajar’, berharta, - yang disanjung, dihormati . Ingatlah, akhirnya tokoh-tokoh itu ‘bersara’ dalam gelumang kehinaan, sebelum pun ajal datang meregut. Sedangkan, perbicaraan Ilahi pasti menyusuli.
Tentulah kita tidak juga lupa bahawa ketamakan dan kehalobaan terhadap sesuatu yang bukan hak milik sendiri mudah melunturkan tekad dan janji murni, langsung terkuburlah semua kebaikan yang pernah dilakukan. Semua jadi sia-sia tidak tertebus oleh ratapan.
Sesal yang berlaku kemudian, iaitu selepas kita mengkhianati sumpah menghindari kemungkaran, benar-benar tidak menjamin kesejahteraan pada hari-hari terakhir di dunia, kerana tertakluk oleh pengadilan dan seterusnya menjalani hukuman setimpalnya. Sewajarnya demikian, dari perspektif golongan orang-orang yang mengamanahi kita kepercayaan.
Aku tidak berani bahkan jahil daripada merumusi ketentuan Ilahi. Tetapi Adam dan Hawa telah menyesal sebaik tersedar keterlanjuran mereka di syurga dan ketika menghuni dunia telah melakukan yang diikrarkan demi menebus keterlanjuran. Mereka benar-benar tidak mengulanginya. Semoga kita boleh mencontohi amalan menebus kesalahan yang mereka lakukan. Semoga kitapun kembali mengadap-Nya dalam keredhaan jua.
No comments:
Post a Comment