Ziarah (1)
Lebuhraya Mekah - Madinah
Banyak kenderaan menuju ke Madinah. Begitu juga yang datang dari Madinah menghala Mekah. Berselisih tidak putus-putus. Pun semuanya meluncur selesa. Kedua-dua hala. Tidak tersekat oleh kesesakan. Tentulah lebuhraya tiga lorong sebelah yang dilalui telah menjadikan perjalanan kami lancar.
Aku dan isteri tidak melelapkan mata. Cuaca panas di luar boleh mengantukkan seseorang dengan mudah, apalagi yang bersifat penidur. R, isteriku, duduk di kerusi tepi kiri menghala tujuan. Di sini lebih mudah untuk memandang ke luar tingkap di sisi bahagian kiri. Aku yang duduk di sebelahnya boleh memandang ke sebelah kanan dan kadang-kadang ke depan melalui lorong berjalan di tengah-tengah bas itu. Pun wuduk kami jaga kerana ada fardu solat bakal ditunaikan ketika singgah nanti di pertengahan laluan.
Tetapi apakah yang boleh kita lihat selama tempoh 5 jam meliputi perjalanan 460 kilometer jaraknya ini? Gunung-ganang, bukit gondol, batu-batan, padang luas bertompok kecil pohonan. Tidak kelihatan sungai, kehijauan, perumahan, dan ladang-ladang seperti yang mudah dilihat di serata negara kita. Kawanan unta dan biri-biri pun tidaklah kerap terserempak. Jadi, adakah ia perjalanan tidak lebih daripada peralihan tempat dari berumrah kepada ziarah?
Tetapi di atas lebuhraya, kenderaan bertali arus; bas-bas, kenderaan berat, motokar dan lain-lain. Ia menunjukkan ada aktiviti yang tidak berkesudahan. Bas-bas membawa para jemaah umrah yang ribuan ramainya. Lori-lori atau trak-trak membawa pelbagai barangan dagangan, dari destinasi ke destinasi yang lain. Begitulah yang lain-lain. Masing-masing ada urusan sendiri-sendiri. Hilir mudik dengan tertib. Aku tidak terfikir sebab lain yang mencetuskan fenomena ini. Tidak lain tidak bukan urusan umrah (dan haji pada musim yang terkhas baginya).
Tentulah ini satu fenomena. Apatah tidak. Yang boleh dilihat di kiri kanan hanyalah bumi gersang, batu-batan, padang pasir kontang, kepanasan membahang dan lebih banyak yang berasosiasi kenegatifan. Cabarannya yang nyata ialah menyesuaikan dengan alam semula jadi yang terpampang di mata. Kegersangan yang melemahkan semangat itu tentu telah bertahan dan mencengkam sekitaran ribuan tahun lamanya.
Lalu aku dan isteri mengimbas perjalanan waktu. 1438 tahun lebih dahulu. Masa Rasulullah Muhammad berhijrah dari Mekah ke Madinah. Berjalan kaki atau mengenderai unta mengharungi ketandusan dihimpit batu-batan sepanjang perjalanan. Jauh di mata gunung-ganang gondol menjadi latar belakang. Di manakah air minuman? Tentu apabila penat perlu singgah dan bermalam dalam kegelapan. Bulan dan bintang tidak sentiasa menerangkan pengembaraan. Aku difahamkan perjalanan atau hijrah itu mengambil masa lebih kurang berminggu-minggu, bukan melalui lebuhraya tetapi laluan unta 14 abad silam.
Sekarang rombongan kami akan sampai ke destinasi dalam beberapa jam sahaja. Tidak akan kami mengalami kesukaran yang tidak terceritakan ribuan tahun dahulu hatta beberapa puluhan tahun dahulu. “Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan (wahai umat manusia dan jin)?”
Hijrah yang penuh cabaran itulah yang mewujudkan suasana masa kini. Orang Islam datang berbondong-bondong ke Tanah Suci Makkatul Mukarramah dan Madinatul Munawarrah. Sedang di sini tiada Piramid, Taj Mahal, Air Terjun Niagara, Tembok Besar China, dan lain-lain seumpamanya. Ajaibnya, manusia malah lebih ramai bertumpu ke dua-dua bandar suci ini. Setiap musim haji, lebih ramai mereka yang tidak mendapat izin berbanding yang bertuah menerima seruan Ilahi untuk datang berkunjung. Demikian itu bakal berterusan ke akhir zaman.
Tanpa perlu merasionalkannya, kami suami isteri akur sendiri. Rupa bumi yang berbeza ini mempunyai sakti sendiri. Perjuangan Pesuruh Allah sebenar-benar telah diberkati kerana kehadiran manusia ke sini tiada lain kecuali untuk menyahut seruan Nabi suci agar mematuhi perintah Ilahi.
No comments:
Post a Comment