Pantulan A/01/12/2017: Serlahan sejati
‘Kekasih’ sentiasa jadi sumber– untuk menyatakan perasaan terutamanya. Kali pertama aku memantul karya Asmira Suhadis, judul sajaknya ialah “Kita Semakin Tua Kekasih” (Pantulan A/1/30/2016). Kali ini, walaupun ‘kekasih’ tidak dijudulkan, ia tetap ditumpukan, pada rangkap pertama dan rangkap kedua, masing-masing sekali. Begitulah teryata apabila melintasi, “Wajah dan Hati”, Dewan Sastera, Bil. 9 [September] 2017, muka surat 64. Puisi inisekadar tiga inci. Ulangilah berkali-kali.
Permata ciptaan ini ialah pada, “kerana kejujuran tidak dapat kita lihat/jika hijab tidak tersingkap.” ini kalimat-kalimat yang tidak kalah dengan kalimat-kalimat yang pernah kita baca hasil ciptaan tokoh-tokoh gah di persada sastera dunia.
Aku sendiri sukakan pembahagian rangkapan; yang pertama “merindui” sedangkan yang kedua, “mencintai”. Perbezaan letaknya mengharuskan kelainan tingkah reaksi, lantaran memuncakkan kesedaran bahawa pemenuhan hasrat diusapi keghairahan akan menyatukan kedua-dua jiwa yang saling mengenali, lantaran sudah berubah sempurna murni. Tanpa berselindung. Ia memetrai penyatuan sejati.
Aku tidak sampai memihaki penyair setara hakiki (kerana tanda-tandanya masih sipi-sipi). Tetapi, seseorang boleh mengangkat makna puisi ini dari aras literal ke aras tersirat yang tentunya akan menghubungkan perkasihan antara hamba dan Pencipta. Kehadiran kemungkinan ini, apalagi kalau boleh dibuktikan, menjadikan puisi ini wajar lebih abadi. Puisi yang berlapis maknawi jarang tercipta dan kerana itu seyogia dihargai, atau sekurang-kurangnya, dihormati dan dirai.
No comments:
Post a Comment