Wednesday, 16 August 2017

Umrah 27 (Addendum 3)

Umrah 27 (Addendum 3 – umrah mukminah)
Berinteraksi
Ada masa-masanya, saya sempat berbual-bual ringan dengan para jemaah lain yang duduk bersebelahan di ruang-ruang solat berkenaan. Dengan berbuat begini dapatlah saya sedikit sebanyak maklumat tentang dunia lain. Tentulah ini satu daripada hikmah umrah yang jarang kita sedari sepenuhnya.
Pada suatu ketika, saya duduk di sebelah seorang perempuan India. Umurnya sekitar 60-an. Dia duduk di atas kerusi. Badannya sedikit gempal dan warna kulitnya putih. Pakaian cara wanita India yang dipakainya kelihatan mahal, menunjukkan dia dalam kelas berada. Dia menegur saya bertanyakan negara asal. Apabila dijawab, beliau lantas memberitahu pernah berkunjung ke Malaysia dan menyukainya. Dia seorang doktor gigi. Bersama-sama beliau ada adiknya yang duduk di sebelah beliau. Di sebelah kanan saya duduk seorang wanita India juga. Warna kulitnya seakan kebanyakan kulit Melayu. Ia mempunyai seorang anak kecil yang kerap menangis. Saya menyentuh anak itu, merasai suhu badannya. Ternyata dia sedang demam. Saya nasihatkan ibunya supaya membeli ubat di kedai farmasi yang ada berdekatan. Doktor gigi itu pun datang memeriksa anak tadi dan mereka bercakap dalam bahasa Hindi sesama mereka. Saya dapat mengagak buah butir percakapan mereka. Demam anak itu harus dirawat segera. Doktor itu mencadangkan supaya dibeli ubat di kedai farmasi seperti yang saya nasihatkan tadi. Wanita beranak kecil itu ada membawa bersama-sama beg pakaian yang diletakkan di tempat solat itu. Dia memberitahu hari itu adalah hari terakhir dia di Mekah kerana akan bertolak pulang setelah selesai tempoh umrahnya.
Pada ketika lain, saya bersolat di ruang masjid berdekatan laluan ke Kaabah. Saya duduk bersebelahan seorang wanita India berkulit gelap, berumur lebih kurang 30-an. Kami bercakap dalam bahasa Inggeris. Wanita itu seorang guru. Beliau pernah sekali berkunjung ke Malaysia bersama-sama suami. Dia memberitahu suaminya biasa berkunjung ke Malaysia kerana urusan perniagaan. Guru ini masih menyimpan hasrat mengunjungi Malaysia lagi. Kunjungan pertama dahulu penuh dengan kenangan manis. Guru itu bertanyakan apa yang saya baca, melihat di tangan saya ada ‘kitab’ kompilasi doa-doa yang disediakan sendiri. Dia tersenyum mendengar jawapan bahawa buku itu sebenarnya hasil usaha persediaan saya khusus datang mengerjakan umrah ini. Bersama-sama guru ini ada dua orang anaknya yang masih kecil, ibu, dan seorang ibu saudaranya. Keluarga ini sangat bersopan. Saya bersalaman dengan anggota keluarga itu.
Suatu waktu, di ruang solat tingkat bawah berhampiran dengan eskalator saya duduk di sebelah seorang perempuan Melayu dari selatan Thailand. Dia rupa-rupanya seorang pengusaha dan pembekal ikan bilis yang tinggal di Songkhla. Beliau saya agak berusia 40-an. Lengannya dihiasi rantai emas yang begitu tebal. Dia banyak menghantar ikan bilis ke Malaysia khususnya ke Kelantan. Malah beliau menawarkan, kalau saya berhajat, untuk membekalkannya dengan syarat tempahan itu sekurang-kurangnya lima kilogram. Hanya, dagangan itu dihantar setakat Pekan Tatbai, jika berbetulan, bersama-sama dengan hantaran bagi tempahan para pembeli yang lain. Kata beliau, para pembeli dari Kelantan akan datang berjumpanya di tebing sungai untuk mendapatkan ikan-ikan bilis itu. Setiap kilogram berharga RM15. Beliau memberitahu di Kelantan ikan bilis itu dijual dengan harga RM40 sekilogram. Beliau juga memberitahu bahawa bilis-bilis tidak mendapat pasaran baik di Thailand sendiri. Pendapatan penduduk yang rata-rata rendah menyebabkan harga yang dijual pun turut rendah. Pada pendapat beliau pasaran di Malaysia lebih merangsangkan.
Peniaga itu bertanyakan tentang saya. Apabila diberitahu saya tinggal di Kuala Lumpur, beliau hairan dengan kebolehan saya bercakap loghat Kelantan dengan faseh. Saya katakan, walaupun tinggal di Kuala Lumpur, loghat Kelantan tetap digunakan kerana memang saya berasal dari negeri itu. Beliau mempelawa saya menghubunginya kemudian. Saya mencatat nama dan telefon yang diberikan. Langkah-langkah susulan mungkin saya lakukan apabila kembali ke Malaysia nanti.
(Nota: Seperti yang diceritakan oleh isteriku).

No comments:

Post a Comment