Wednesday, 16 August 2017

Ziarah (7)

Ziarah (7)
Ziarah Junjungan
Apabila selesai solat Subuh, aku bersendirian keluar masjid melalui pintu hadapan bersebelahan pintu Babussalam. Di situ, sudah ramai jemaah lain sedang bersesak-sesak beratur untuk memasuki semula masjid melaluinya. Aku lalu menyertai mereka kerana bertujuan yang sama, menziarahi Rasulullah S.A.W. di makam baginda.
Kami bergerak sabar setapak ke setapak melalui laluan yang dikhususkan. Walaupun tubuh-tubuh kami rapat berhimpit ia tidaklah sampai bertolak-tolak kasar menyemputkan nafas. Ada persefahaman bahawa kami sedang menziarahi Junjungan Besar yang menuntut kekhusukan dan ketertiban yang wajar. Dalam mara perlahan-lahan, semakin dekat dengan makam semakin terasa himpitan di antara sesama penziarah. Pun tetap menapak juga. Kami serentak membacakan salawat dan doa. Aku bahkan sama-sama melafazkan salawat dan doa selari dengan seorang jemaah lain apabila mendapati beliau membacakan salawat atau doa secara teratur, jelas dan terkawal nada suaranya.
Dalam pada itu, kuperhatikan juga ada segelintir penziarah yang lebih ghairah. Mereka cuba merakamkan suasana penziarahan menggunakan henfon atau perakam video mini sungguhpun jelas dilarang oleh anggota-anggota keselamatan yang bertugas. Bagaimanapun, lebih ramai jemaah yang berdisiplin dan patuh kepada etika berziarah yang menuntut kepatuhan kepada aturan dan batasan tertentu demi menjamin faedah seafdalnya.
Ziarah itu dapat kuselesaikan dalam masa lebih kurang 15 minit, berakhir dengan keluar melalui pintu bertentangan di hadapan iaitu pintu Baqi’. Aku tidak bercadang untuk memasuki Raudhah pada hari itu. Aku berjalan di sepanjang bangunan masjid melalui kawasan berpayung sampai ke pintu pagar nombor 9. Kusedar ketika itu mengikut jadualnya sarapan pagi sudah tersedia. Bimbang juga terlepas. Untuk beribadat perut harus beralas. Maka aku pun melangkah pulang ke hotel. Di samping itu, ingin juga aku mengetahui pengalaman R. Semenjak beredar mencari ruang solat masing-masing, kami tidak dapat menghubungi satu sama lain. Ada sedikit masalah dengan telefon kami.
Ketika beratur untuk mengambil sarapan kulihat R sedang bersarapan di satu meja bersama-sama jemaah wanita yang lain. Aku lega. Bekas-bekas isian makanan masih berbaki dan cukup menampung keperluanku. Aku tidak pergi makan semeja dengan R. Mejanya penuh diduduki. Hanya aku pergi berjumpa beliau mengingatkan program rombongan pagi itu ialah untuk menziarahi makam Rasulullah S.A.W. yang akan dipandu oleh mutawif. Kami semua dikehendaki berkumpul di lounge hotel pukul 9 pagi sebelum beramai-ramai berjalan ke Masjid Nabawi.
Aku tidak memberitahu R telah melakukan ziarah tadi. Sampai masa beliau dan mutawif akan dimaklumkan. Namun, aku belum menyuarakan alternatif lain untuk bersama-sama R, tanpa menyertai program rombongan.

No comments:

Post a Comment