Tuesday, 15 August 2017

Pantulan A/01/8/2017: Sajak Hilmi Rindu “Bilik Kayu Darjah Satu”

Pantulan A/01/8/2017: Papan sled kalam batu
Aku sebenarnya kebelakangan ini kian cenderung mengenang-ngenang peristiwa-peristiwa lampau. Tentang zaman kecil dan remaja di kampung tumpah darah, khususnya. Maka apabila melintasi sebuah sajak Hilmi Rindu (Mohd Abdullah), “Bilik Kayu Darjah Satu”, Dewan Sastera, Mei 2012, muka surat 60, ia bagai menyemarakkan kegianan itu. Sajak ini mengambil ruang masa 47 tahun ingatan silam penyair. Ketika itu (1964) beliau sedang belajar dalam Darjah Satu di sekolah rendah berbangunan kayu. Kalau pengalaman sendiri kucelahkan di sini, sekolah itu kubayangkan sekolahku dahulu (Darjah Satu 1958), berdinding papan, beratap nipah, berbangku dan bermeja panjang, dan kuingat-ingat lupa, berlantai tanah hitam. Aku termasuk salah seorang murid-murid terakhir mengalami persekolahan sekolah atap kerana apabila berada di Darjah Dua, tiada lagi suasana begitu dialami murid-murid lain yang menyusuli.
Aspek yang dikenangi Hilmi melibatkan kaedah pembelajaran dan jasa guru yang menjadikan seorang murid boleh membaca daripada buta huruf sebelumnya. Jasa ini besar. Ia bermakna kerana murid itu dapat menanamkan asas-asas kemampuan diri yang kukuh untuk membina peribadi dan kerjaya pada tahun-tahun seterusnya. Penyair ini tentu telah menjadi seorang yang berguna sekarang. Namun, tetap ia tidak lupa bakti yang dicurahkan oleh guru yang berhemah dan bijaksana itu. Dan lebih-lebih lagi bernostagik pengenangan karyawan ini kerana sekolah itu adalah sekolah kampung diperbuat daripada kayu.
Sebuah sajak tidak semestinya memfokusi hal-hal besar atau luar biasa. Hilmi begitu pandai dan teliti mencungkil peristiwa lama yang tidak semua orang sempat mengalaminya. Barangkali orang-orang dari generasi yang lebih awal akan lebih tertarik oleh rakaman ini. Pun, ia tidak pula menjauhkan generasi lebih terkemudian menghayati sama dan meraeh kepuasan sendiri-sendiri. Sedang aku, yang menjadi salah seorang ‘pelaku-pelaku’ sebenarnya pada tempoh yang lebih awal, lebih-lebih lagi menghargainya.

No comments:

Post a Comment