Monday, 21 August 2017

Pantulan C/01/9/2017: Sajak Norhisham Mustaffa, “Seorang Guru Bersuara Sehari Sebelum Bersara”,

Pantulan C/01/9/2017: Pengabaian
Sajak sinis Norhisham Mustafa (Mustaffa?), “Seorang Guru Bersuara Sehari Sebelum Bersara”, Dewan Sastera, Mei 2012, muka surat 61, sangat sesuai dideklamasikan di kalangan kaum yang serupa. Lebih baik lagi kalau dalam sayembara deklamasi sempena menyambut Merdeka yang bakal tiba. Pastilah (saya boleh nampak) deklamator menggayakan persembahan, yang tentunya berapi-api sekali gus lantang menurit gegendang telinga. Dijangka khalayak terbungkam menahan amarah bersumbat kejengkelan. Bertuah ibu mengandung, kalau dalam sayembara, deklamator sajak ini bakal diisytihar juara.
Ya, untuk persembahan pentas sajak ini cukup ideal. Kesajakan dan kehangatan garapan isunya memenuhi syarat-syarat mendepani dan mengobarkan perasaan khalayak. Malangnya, seperti lazimnya, (saya percaya) khalayak, kemudiannya pulang ke haribaan sanak keluarga, handai taulan seperti biasa, seakan tiada sesuatu bererti terjadi.
Sedangkan ia ada juga kekuatan lain. Kalau setiap patah, frasa, dan kalimat yang berpadu padat menyampaikan niat penyairnya dihayati sehasrat asali beliau, sajak ini akan menggempar, menghonar mendampakkan – ke arah yang positif seharusnya.
Ada tujuh jawatan seseorang murid boleh bangga bercita-cita “menjadi” selepas tamat pengajian, termasuk sebagai “sasterawan negara”. Jangan lupa pula yang lain satu lagi disebut, “pendatang ke negara asing”.
Saya sukakan urutan ayat tentang kebebasan yang menonjoli lebih separuh keseluruhan sajak. Sinisnya, kebebasan itu ke arah mengingkari semua undang-undang, peraturan-peraturan dan syarat-syarat yang tergubal khusus bermatlamat mengukuhkan amalan ketatanegaraan masyarakat madani. Termaklum sekian lama, setiap jenis kemungkaran itu ada pihak berwibawa yang dipertanggungjawabkan mengawalinya. Mereka dilantik, dilatih agar mampu memikul amanah. Masing-masing mendapat imbuhan berpadanan daripada kerajaan. Para penjawat awam itu boleh hidup selesa dengan mentaatinya, mendukung budaya kerja cemerlang. Betapa kecewa rakyat apabila para pemimpin pada semua lapisan melonglaikan kewajipan mengawal karenah dan tindak-tanduk bermaharajalela pendatang asing sehingga berleluasalah kegejalaan tempang yang meruntuhkan seperti dirakami Norhisham.
Maka, janganlah dibiar sajak terperap di rak. Hindarkan ia hancur lebur di kerit anai-anai di rembat warisan. Usah abaikan ia jadi tidak berharga bak buah-buahan musim melambak, atau elakkan ia terpendam sehingga diketahui setelah digali seorang pentesis kerana menulis sekadar memenuhi keperluan akademik, lama terkemudian.
Sajak harus memberi impak segera. Pastikan ia menggera dan menggerakkan tindakan susulan. Ayuh, selongkari punca menjadikan perutusannya sepi tanpa dibaca walaupun sekali-sekala. Sedangkan, sajak suatu saluran ampuh bergemerlapan mutiara. Ada bisanya menjana ketamadunan.

No comments:

Post a Comment