Pantulan E/01/7/2017: Usaha kemudian tawakal
Pembicaraan awal terhadap sajak (Sasterawan Negara Dato' Dr.) Zurinah Hassan, “Burung Laut” (termuat dalam ruangan Puisi Bulan Ini), Dewan Sastera, Ogos 2013, muka surat 70 dilakukan secebis oleh Sahlan Mohd Saman, “Mempertajam Perspektif Kepenyairan” (Kritikan Puisi), Dewan Sastera, September 2013, muka surat 59 (58-61). Sahlan menggandingkan petikan sajak-sajak Zurinah dan Zaen Kasturi lalu mengatakan, sajak-sajak mereka “… memperlihatkan persamaan gaya persajakan yang cukup banyak: adanya kemerduan rentak dan rima, perulangan kata dan suku kata, dan sukatan kata dan fonem dalam baris-baris berlainan.” Seterusnya, dikelompokkan nama-nama Zurinah Hassan, Rahman Shaari, E Pian Pro Poul yang dikatakan “penyair mapan”. Mereka ini “membawa gaya bersahaja dan mudah pula pemaknaannya.” Mereka “kurang gemar berteka-teki…”. Dikatakan juga terhadap mereka, “Kemerduan dan keindahan bahasa teryata mereka kuasai pada takah yang cukup baik. Kepadatan susun kata mereka diutamakan.” (ibid).
Tiada lagi ulasan lain. Dan tidaklah kena saya mengulangi apa yang sedia disentuh. Pun, kerana tertarik oleh sajak ini, maka wajarlah saya perkatakan aspek lain.
Pengakuan bahawa sekerdil atau selemah mana pun seseorang ia tidak akan terlantar selagi Allah SWT menghendakinya menyerlah dalam sajak ini. Ia satu jaminan yang seharusnya tidak diperlekehkan. Seseorang sewajarnya tabah berusaha agar berupaya menelusuri liku-liku penghidupannya sebagai yang telah digariskan Ilahi (walaupun tentulah ia tidak mengetahui serba cabaran dan masalah-masalah yang mendepaninya) dengan persediaan dan ikhtiar tanpa henti. Tidak harus putus asa. Tetapi pengutipan hakikat yang diketengahkan tidaklah menjadi persoalan lagi. Demikian adalah suatu hakikat. Maka akuilah. Tetapi dalam konteks mengapresiasi ciptaan ini, kita seharusnya menghargainya lantaran lengkapnya. Ia menjadi sebuah karya bermutu apabila penyair dapat menggemblengkan falsafah atau mesej tersebut dengan kemahirannya mengindahkannya. Dan sajak lazimnya diindahkan melalui penyulaman bahasa yang digunakan penciptanya. Perasaan pun jadi terusik. Begitulah yang telah dilakukan ke atas sajak ini.
Gambaran “burung laut”, “ombak”, “gelombang”, “melayang dan melayah” menjadikan suatu pemandangan yang cantik dan real sebagai mengumpamakan perjuangan hidup tanpa surut. Pun serentak itu pula, ada kesukaran dalam proses mencapai kemuncak kejayaan. Cabaran-cabaran dalam bentuk seseorang harus “menyeberang …”, “bertenggek”, kerana ber“sayap kecil” mengetengahkan peringatan atau pesanan bahawa sentiasa perlu usaha positif untuk mengatasi kesukaran yang (mungkin) dilalui. Dan keyakinan terhadap “kasih Allah” seharusnya disedari sendiri. Wujud dalam diri. Ia janganlah menjadi unsur luar dalam survival menghadapi pancaroba yang ada.
No comments:
Post a Comment