Pantulan F/1/27/2016: Kehampiran
Sajak Azmi Yusoff, “Di Pelabuhan Akhir”, (Puisi Jawi), Dewan Tamadun Islam, Julai 2015, muka surat 18, boleh kita kira selari dengan lingkup matlamat majalah yang menampunginya. Dalam kesantaian membelek helaiannya aku tiba-tiba terpaut oleh pertanyaan Azmi, yang mengaitkan aspek kejahilan kita tentang pengalaman manusia yang telah berada “di pelabuhan teduh” sama ada “sengsara di jerkah malaikat” atau selainnya. Aku lebih memberati tanggapan Azmi yang menyifatkan bahawa manusia lebih “memesrai rencam hidup di dunia”.
Latar demikian aku kira untuk majoriti insan. Golongan yang mencintai alam baqa lazimnya tidak menonjol dan bukan kebilangan. Situasi ini dilantari dunia kita yang kian ‘moden’ dan lazimnya kemodenan lebih menjurus ke arah menampakkan keseronokan mematuhi tuntutan dunia yang arusnya mampu melemaskan. Ini terjadi kerana hal-ehwal dunia boleh kelihatan di depan mata atau dinikmati panca indera. Alam satu lagi itu, harus difikir dan diimaginasikan dengan bantuan ilmu berfaedah dalam dada. Penguasaan terhadap ilmu itu menuntut usaha keras, pengorbanan terhadap keseronokan duniawi yang lebih sering mengabui. Maknanya, tanpa keiltizaman, perlengkapan diri tidak mencapai tahap yang terbaik. Maka tidaklah dapat dikecapi faedah ukhrawi dengan serta-merta. Kemanisan daripada perobahan keutamaan tersebut hanya datang beriring dengan ketakwaan. Sedangkan ketakwaan lebih mudah diucapkan berbanding memiliki atau menanamkannya di dalam hati.
Pun, kalau dengan mengutis secebis puisi, kecenderungan ke alam barzakh atau alam akhirat bangkit, maka kukira seseorang telah melakukan dakwahnya, mengikut kaedah dan setakat kemampuannya. Ada penjelasan ustaz kudengar, bahawa agama itu nasihat menasihati, dan renungan Azmi sebenarnya adalah seruan agar pembacanya tidak hanyut dengan keduniawian sahaja kerana tingkat usia yang kian meninggi adalah tanda jelas menggera individu bermuhasabah, sebelum terlambat. Sewajarnyalah hidup ini perlu berjasa, berteman amalan ketakwaan. Maka Azmi mencetuskan pengujaan ke arah itu. Tiada pilihan yang lebih baik. Kita harus bersedia menghadapi penghakiman berasaskan pertanggungjawaban Ilahi selama ini. Tersedar pula bahawa aku termasuk salah seorang bakal dinilai prestasinya di padang akhirat itu.
No comments:
Post a Comment