Sunday, 31 August 2014

Kehadiran

Aku memberhentikan kereta di petak yang disediakan. Pondok keselamatan dihampiri memohon izin masuk. Notis di pintu pagar jelas mengarahkan para pelawat berbuat demikian. Pegawal bertugas membenarkan apabila kuberitahu hasrat menghadiri majlis pertemuan dengan Ketua Pengarah.

“Saya dijemput.”

“Mesyuarat dengan Tan Sri?”, tanya pengawal itu, sedikit terkejut.

“Eh! Tak tahukah dia, majlis penting ini. Hanya orang-orang tertentu saja diundang. Bilangan mereka pun terhad.”. Terlintas di hatinya ada kelemahan nyata.   “Masakan.” Sedikit menjengkel.

“Ya”, balasku santun.

Pengawal itu menekan swic di hadapannya. Sekali gus palang hadangan laluan masuk terangkat. Dalam hatiku, “Mudah rupanya masuk ke pejabat ini.” Tidak  pun perlu memperkenalkan diri. Barangkali, tali leherku mempengaruhi.

Aku masuk ke kereta dan memandu ke medan yang dikhaskan. Sebaik keluar berjalan meninggalkan medan menuju bangunan aku menoleh ke pondok itu. Tampak olehku pengawal tadi sudah berdiri di luar pondok. Dia kelihatan lebih segak. Sudah lengkap bertopi. Apa tidaknya 15 minit lagi Tan Sri akan tiba. Tidaklah senonoh jika dia tetap dalam pondok, bersenang-senang diri.  

Dua puluh minit sudah berlalu. Yang ditunggu belum tiba. Para jemputan pun.  Ketika aku datang semula ke kereta, kelihatan pengawal masih mundar mandir di luar pondok.   Ketika memandu keluar, aku memberhentikan kereta berhampiran pengawal itu. Cermin sisi depan sebelah kiri kuturunkan.

“Saya tersilap tarikh. Program sebenarnya esok. Tengah hari.”  

Pengawal itu mengangguk. Dia tersenyum. Lega. Aku beredar perlahan. Dari cermin dalam kereta kulihat pengawal itu melangkah  mantap ke pondok. Tentulah dia akan duduk-duduk selesa semula. 

No comments:

Post a Comment