Sunday, 31 August 2014

Merakam kemerdekaan



Puisi bulan merdeka (Ogos) tahun kemerdekaan (1957) sebenarnya tidak banyak boleh ditemui. Setakat yang dapat dikesan dari semakan mudah ada dua dicipta oleh Ibu Zain (“Bangun – Maju – Merdeka”; dan “Tanah Melayu Kekal Merdeka” (Lihat, Abdul Latiff Abu Bakar (Penyelenggara), “Puisi-puisi Kebangsaan 1913 -1957”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1987, cetakan pertama, muka surat 640 – 641). Sajak yang merakam peristiwa menyambut kemerdekaan lagi jarang ditemui, kecuali satu iaitu karya Hasbima, “Sedetik Setelah Merdeka”,(lihat, Othman Puteh dan Rahman Shaari (Penyelenggara), “Begini Rupanya”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 1993, cetakan pertama, muka surat 566-567).

Sebagai penghormatan kerana ‘jasa’ mereka menjulang kepentingan saat, masa dan peristiwa mega itu, kupetik sebahagian gubahan mereka, pertamanya, Hasbima, “Gema loceng merampas keheningan malam,/Sorak merdeka, meraung garang;/Pergi detik sejarah, musnah sebuah kisah,/Bendera tua; menyembah bumi.”/Bendera muda, menjulang tinggi.” (muka surat 566)

Dari sajak Ibu Zain, “Merdeka bangsa merdeka negeri/merdeka bahasa jiwa sendiri/adat resam baharu bahri/budaya bangsa hidup berseri.” (“Bangun- Maju – Merdeka”, muka surat 640).

ASKAT: Aku sendiri anak pra-merdeka tetapi lama selepas merdeka baharu boleh menghayati erti kemerdekaan.

No comments:

Post a Comment