Umrah 2019 (10): Terlepas Zuhur
Apabila ustaz selesai berceramah, seorang ahli jemaah, tentunya diminta mutawif, telah membuat pengumuman. Katanya, semua jemaah diminta menyumbang SR20 bagi kos mengendalikan penerbangan balik di Lapangan Terbang Jeddah. Katanya, kos ini tidak dapat dielakkan kerana budaya pengongkosan itu adalah realiti yang seharusnya diterima. Di samping itu, jurucakap itu memberitahu ahli-ahli rombongan juga diminta menyumbangkan SR15 seorang bagi ‘saguhati’ kepada ustaz-ustaz yang dijemput menyampaikan ceramah dalam program ziarah rombongan – dua hari di Mekah dan dua hari lagi di Madinah kelak.
Aku teringat kedatangan berumrah pada tahun 2017. Ketika itu mutawifnya orang lain, tetapi agensinya masih sama, Tiram Travel. Ketika itu mutawif hanya mengutip SR20, katanya untuk kos pelicinan urusan penerbangan balik di Jeddah. Tiada sebarang kutipan bermaksud memberi sagu hati kepada ustaz-ustaz. Aku terlintas di hati, terutama tentang kos membiayai ustaz itu, sebagai kos tersembunyi, di luar kos pakej umrah? Pada hematku, jika menjadi ciri utama ziarah, agensi seharusnya memasukkan kos ini awal-awal lagi. Diakui, jumlah yang diminta tidaklah seberapa, tetapi apabila ia disyaratkan tiba-tiba, apalagi didengari ustaz yang terbabit, kukira ia kurang kena. Tidaklah kuketahui, ahli-ahli kumpulan di bawah kendalian mutawif-mutawif lain, sama ada terkena kutipan yang sama – kurang atau lebih banyak sumbangannya! Tetapi tiada pun, kuperhatikan, mana-mana jemaah menyuarakan bangkangan. Mereka tentu bersikap malu-alah dan bijaksana menyesuaikan situasi.
Azan Zuhur sudahpun dilaungkan ketika kami tiba di kawasan Masjidul Haram. Tentulah tidak sempat kami bersolat bersama-sama dalam tergesa-gesa apatah lagi dengan barangan yang dibeli terbimbit di tangan. Padan dengan keselekehan mencakna masa. Kami pula belum atau kehilangan wuduk. Dataran masjid itu belum sangat dibiasai apalagi hendak menjadikannya tempat bersolat secara tiba-tiba.
Hakikatnya, bas tidak lagi boleh merapati kaki hotel tempat kami menaikinya tadi. Kami semua perlu turun di aras bawah tanah berhampiran dan menggunakan eskalator panjang untuk naik ke aras dataran Masjidul Haram. Sambil membawa beg-beg plastik mengisi belian R, aku mendahului jemaah menaiki eskalator yang tinggi dan muncul di dataran masjid. Sudah ramai jemaah bersedia untuk solat berjemaah di situ. Namun, masih ramai juga yang menuju ke hala masjid, mungkin untuk memasuki Masjidul Haram atau bersolat lebih dekat dindingnya.
Dari tempat keluar eskalator itu ternampak hotel kami menginap hampir 200 meter di hadapan. Cara paling mudah ke sana ialah merentas dataran terus menuju hotel berkenaan. Tetapi kerana sudah ada kelompok-kelompok jemaah sedang bersedia untuk bersolat di sebahagian besar dataran itu, tidak mudah menyelit-nyelit untuk melepasi mereka. Maka cara yang terbaik ialah menggunakan kaki lima bangunan atau hotel-hotel yang melingkungi dataran itu. Masalahnya, hampir semua kaki lima itu telah juga diduduki jemaah yang bakal bersolat. Ada yang menghampar sejadah masing-masing. Begitu pun kami nekat mengelakkan terkepung apabila solat dimulakan. Kami bergerak tangkas di celah-celah barisan atau saf yang sedang terbentuk sepanjang laluan menuju ke hotel kami.
Akhirnya Imam telah memulakan solat. Jemaah pun mulai bersolat. Kami tidak boleh tiba-tiba tercegat. Tiada pilihan lain. Kami perlu bergerak di depan jemaah, memijak sejadah yang terhampar. Aku kira dalam 10-belasan minit akhirnya berjaya tiba di kaki lima hotel kami. Yang rapat mengekori di belakang ialah Abang Mie, pesara tentera, dan isteriku serta kawan-kawan sebiliknya.
Solat Zuhur di Masjidul Haram akan selesai sekejap sahaja lagi. Dalam berpakaian ihram kami terikat mematuhi rukun-rukun umrah. Ziarah pertama telah berlalu. Tetapi, umrah kedua kami sedang tergantung. Selepas makan tengah hari kami akan mengerjakan tawaf, saie dan tahlul.

No comments:
Post a Comment