Wednesday, 22 May 2019

Umrah 2019 (7): Qiamullail

Umrah 2019 (7): Qiamullail
Penggera telefon berbunyi seperti ditentukan: 3 pagi. Kukejutkan Abang Mie di katil di sebelahku. Dia mudah sahaja tersedar dan tidak sangat berlengah ke bilik air mensuci diri. Sebelum tidur tadi telah kuberitahu program yang bakal menyusul. Kerana itu dia tidak tertanya-tanya. Dia tahu tujuan dan maksudnya. Ke Masjidul Haram mengisi ibadat umrah kami.
Aku mengambil giliran ke bilik air selepasnya. Dalam 10-15 minit kami telah bersedia. Masing-masing memakai jubah. Aku jubah lama yang biasa dipakai semasa di rumah. Ia tempahan beberapa tahun dulu di kedai jahit Masjid Kampung Tunku. Kainnya adalah hadiah kerajaan kerana mengenang jasa perkhidmatanku sebagai Timbalan Nazir masjid tersebut. Jubah yang dipakai Abang Mie baru kubeli di kawasan Masjid India, Kuala Lumpur khas untuk beliau sebagai persediaan datang berumrah. Abang Mie belum pernah memakai jubah sebelum ini. Kelihatan sesuai benar dia dengan jubah stail Oman itu.
Aku memang berniat untuk datang awal di Masjidul Haram. Banyak yang boleh dilakukan sementara tiba waktu Subuh. Di rumah pun telah kubiasakan bersolat tahajjud, witir, dan kadang-kadang solat taubat dan hajat. Amalan solat malam ini, bersama-sama dengan bacaan lain seperti salawat, zikir (seperti Al-Ma’tsurat Sughra) dan doa-doa boleh memenuhi waktu yang terluang. Bahan-bahan rujukan yang semuanya berbentuk kecil atau kenit ada dalam beg sandang. Sebahagian bahan-bahan ini memang pernah menjadi teman setia ketika berhaji dan berumrah sebelum ini pun. Bukan risalah baru. Telah aku biasa dengannya. Jadi tidak ada masalah mengoptimum masa.
Aku khuatirkan Abang Mie. Bolehkah dia mengharungi waktu dinihari itu seperti yang aku rancangkan untukku? Tetapi Abang Mie seorang yang unik, kerapnya mengejutkan pula. Ketika masih remaja pun masjid adalah satu tempat favoritnya. Dia biasa bersolat di masjid. Dia termasuk antara jemaah terawal datang. Dia akan duduk-duduk bersandar di tiang belakang masjid itu. Tiada apa substantif dilakukan, kecuali melayan dirinya mungkin dengan bermain telefon. Dia tidak atau jarang berinteraksi dengan jemaah yang lain. Pun, dia mengenali mereka dan sebahagian mereka, terutama pegawai-pegawai masjid, tahu Abang Mie adalah anakku. Sebaik selesai solat berjemaah dia akan pulang ke rumah yang hanya dua tiga minit berbasikal. Memang Abang Mie berulang-alik ke masjid dengan basikal. Hari-hari hujung minggu atau cuti, rutin Abang Mie begitu. Dia salah seorang ahli kariah yang sering ‘mengimarahi’ masjid kami, kecuali kalau dia berada di luar kampung ‘mengembara’, 'berkelana' – ke merata pelusuk negara!
Ketika kami terilham berumrah kali ini, R mencadangkan dibawa Abang Mie bersama-sama. Dia pun bersetuju dan isterinya tidak keberatan. Aku membekalinya dengan buku kecil tentang ibadat umrah dan risalah-risalah kecil berkenaan. Semoga beliau melatih diri lebih bersedia di Tanah Suci nanti. Di samping itu, telah kuperingatkan Abang Mie agar tidak lupa mendatangi masjid di tempat tinggalnya sekarang. Amalan lama yang sentiasa dilakukan ketika belum berkahwin dan semasa berada di rumah hendaklah berterusan dilakukan. Terutama waktu Subuh dan pada hari-hari cuti. ‘Ain, isterinya memberitahuku syorku itu dipatuhinya. Pun, aku kurang pasti ‘ilmu’ yang sudah tertanam untuk Abang Mie melalui sesi beribadat yang panjang dan individualistik pada ketika-ketikanya, seperti jangka yang terluang sebelum Azan Subuh dilaungkan.
Kami memasuki Masjidul Haram melalui pintu King Fahd. Teringat aku untuk mencari tempat solat di tingkat satu, tempat yang pernah lebih kubiasai semasa berhaji dan umrah terdahulu. Terkenang, ketika itu dari saf hadapannya aku dapat pula melihat sebahagian Kaabah, di samping bersolat, berzikir dan membaca Al-Quran. Mahu aku ulangi dan dedahi Abang Mie pengalaman yang sama, sambil menilai keupayaannya mengoptimumkan masa sedinihari begitu.
Sebaik masuk kami berhenti sejenak minum air zam-zam yang tersedia. Abang Mie diketahui mengelakkan minum air ini ketika di rumah. Syukurlah dia tidak bersikap demikian di sini. Ia meminumnya seperti kulakukan. Setelah berjalan sejauh lebih kurang 30-40 meter dari situ menghala ke kiri, aku berhenti di ruangan solat berkarpet yang hijau warna dasarnya. Waktu seawal itu belum ramai lagi jemaah. Ruang solat boleh diduduki hampir di mana-mana. Di hadapan kelihatan Kaabah, sesuku bahagian atasnya. Di aras itu, jemaah yang bertawaf pun segelintir masih.
Aku mengingatkan Abang Mie bersolat tahiyattul masjid, solat hajat, solat taubat dan solat witir. Kalau semuanya itu dapat dilakukan maknanya Abang Mie telah dapat menunaikan sebahagian hasrat kami membawanya berumrah. R memang sentiasa mengingatkan Abang Mie supaya sentiasa sekaki denganku. Jangan sekali-kali berpisah, melakukan pilihan beliau sendiri.
Masa bergerak. Azan awal sebelum subuh dilaungkan. Dari satu solat ke satu solat yang lain kulakukan. Di antaranya, aku berzikir dan berdoa, seperti dalam risalah yang ada dibawa bersama. Abang Mie pun ada membawa risalah-risalah itu. Aku sedar Abang Mie melakukan seperti yang diajarkan. Tetapi sepenuhnyakah atau sebahagian sahaja tidaklah aku pentingkan sangat. Asal dia tidak terlalu gersang amalan yang wajar pada waktu sehening itu aku sudah sangat bersyukur.
Sebenarnya, dalam hatiku, adalah terlalu tinggi menetapkan piawai mengharapkan amali Abang Mie seperti yang aku lakukan. Malah, aku sendiri tidaklah dikira lebai mana pun!

No comments:

Post a Comment