Umrah 2019 (6): Dam Terelak
Apabila sampai semula di tempat R menunggu pun, habuk kelibat Abang Mie gagal menyelinap. Ketika itu hubungan kami melalui telefon belum boleh dilakukan. Lalu Aku dan R memutuskan pulang ke hotel. Harap-harap Abang Mie ada di situ. Waktu sudah lebih kurang 12.30 malam/pagi. Jemaah masih ramai di mana-mana, termasuk yang diselisihi ketika menuju ke hotel. Ramai yang berpakaian ihram dan pastilah mereka ke Masjidul Haram hendak bertawaf atau bersaie.
Sebaik sahaja diketuk, pintu bilik dibuka. Oleh Abang Mie! Keresahan di dada serta-merta lenyap. Segera kutanyakan ke mana dia menghilang? Katanya, selesai pusingan enam bersaie tadi dia diserang ‘senak perut’ lantas bergegas mencari tandas. Fasiliti itu tiada dalam masjid. Yang terdekat ada berhampiran kaki hotel kami menginap. Tidaklah berapa jauhnya. Tetapi, ini bermakna dia terpaksa keluar dari kawasan bersaie, dan Masjidul Haram. Selepas menselesakan diri, dia terus naik ke hotel dan berbaring di katilnya. Masih dalam pakaian ihram. Aku menyiasat dan mendapat pengesahan, pusingan ketujuh Saie belum lagi dilakukan. Beliau kuingatkan segera menyambung semula rukun itu supaya selesai. Tanpa bertahlul, sekatan ketika berihram berterusan terpikul di dirinya.
Kami tidak berlengah-lengah lagi. Segera bilik hotel kami tinggalkan. Kami turun ke dataran Masjidul Haram menuju pintu King Fahd langsung terus ke Bukit Safa, lebih kurang 100 meter jaraknya. Ketika tiba, para pensaie ternyata lebih ramai daripada ketika kami tinggalkan tadi. Sahlah lebih ramai pensaie memilih waktu itu menyempurnakan rukun tersebut dan menyelesaikan umrah masing-masing. Gema jemaah bersaie seakan bergempita.
Kami – Aku dan Abang Mie, menyertai mereka yang bersesak-sesakan itu, memulakan pusingan ketujuh Saie Abang Mie yang tergantung tadi. Sepusingan bukanlah membebankan. Seketika kemudian kami telah menjejaki Bukit Marwah dan genaplah pusingan Saie Abang Mie. Di tepi dinding yang melingkungi kemuncak bukit itu aku menggunting rambut Abang Mie sambil meminta beliau membaca doa seperti dalam risalah. Selepas bertahlul dia kuminta mendirikan solat sunat Saie.
Aku lega sekarang. Kami berdua mengatur langkah menuju Bukit Safa. Ketika hampir tiba di garisan permulaan Saie di situ kami lantas menaiki tangga berhampiran lalu menuju pintu keluar Masjidul Haram iaitu King Fahd, kembali ke hotel. Ketika itu waktu boleh jadi 1.30 pagi.
Tiba di bilik, didapati penginap sudah ada yang tertidur. Seorang daripadanya, yang paling tepi menghimpit dinding, membunyikan dengkurannya yang amat kuat! Benar, memang amat kuat. Dengan keunikan ‘nada’nya! Apa nak buat? Kami berlabuh di katil empuk masing-masing. Tidur dalam pakaian ihram.

No comments:
Post a Comment