Umrah 2019 – (1) KLIA2
Sungguhpun jadual penerbangan ialah 11 haribulan April 2019, pukul 4.40 pagi, kami diminta Tiram Travel berkumpul di KLIA2 pada jam 12.30 pagi. Ini bermakna kami sebenarnya bertolak dari rumah di Kampung Tunku pada 10 haribulan. Era, anak perempuan kami yang sedang berkursus di Bukit Kiara bersedia menghantar kami ke lapangan terbang. Dari Kampus Utama INTAN itu beliau boleh terus ke rumah kami selepas waktu pejabat. Jaraknya tidak jauh. Tiada perlu bergegas.
Kami telah makan malam lebih awal, mandi sunat ihram, memakai pakaian ihram, bersembahyang Isya’, solat sunat musafir dan sunat ihram sebelum turun pada lebih kurang 10 malam. Kukira dengan cara begini lebih praktikal kerana tidak perlu berihram di lapangan terbang yang tidaklah lebih sangat selesanya.
Dari Kampung Tunku ke KLIA2, perjalanan memakan masa tak sampai sejam. Aku memikirkan elok tiba lebih awal daripada kelam-kabut di saat-saat akhir. Era memandu kereta dan kami bertiga menjadi penumpang. Lebuhraya yang dilalui seperti biasa sibuknya. Kami menuju ke arah Subang Jaya dan kemudian mengambil lebuhraya menuju terus KLIA2. Perjalanan tiada tergendala. Ketika kami tiba di ruangan Perlepasan, sudah kelihatan kelompok jemaah seagensi dengan kami. Beg-beg yang ada bersama-sama mereka serupa dengan milik kami. Warna oren-biru identiti korporat Tiram Travel begitu jelas terserlah. Belum seorang pun terlihat berpakaian ihram di kalangan khalayak. Ramai pula kelihatan saudara-mara yang datang menghantar, kecil dan besar. Nampak kegembiraan dan ‘excitement’ di wajah masing-masing.
Melalui mesej WhatsApp mutawif kami, jemaah kumpulan 3 diminta berkumpul di Kaunter X12. Aku perhatikan semua jemaah Tiram, untuk kumpulan-kumpulan yang lain sedang dibahagi-bahagikan dokumen seperti passport, tanda nama, serta diminta menyusun bagasi masing-masing di kaunter-kaunter ‘X’ yang ditentukan. Mutawif bertugas di setiap kumpulan itu telah sedia berada awal di situ.
Aku mencari-cari kumpulan 3 dan mutawifnya, tetapi gagal menemui. Maklumat atau arahan mutawif tiada pula muncul di WhatsApp kumpulan kami. Kebimbangan mulai muncul kerana kedatangan awal kami tidak membantu kelancaran berurusan yang dikehendaki. Aku akhirnya dapat menemui mutawif di Kaunter X12, memperkenalkan diri dan serta-merta diberikan dokumen-dukumen seperti passport, sijil suntikan, salinan visa dan tanda nama kami sekeluarga. Sambil itu kami diminta segera membawa bagasi ke kaunter yang ditentukan. Beberapa orang para jemaah membantu menggerakkan bagasi rombongan di kaunter. Khidmat mereka malah sangat digesa oleh para mutawif demi melancarkan urusan.
Dalam pada itu, para jemaah dan penghantar telah ramai yang bersimpuh duduk di lapangan berhadapan dan sekitaran kaunter-kaunter, menghilangkan penat berdiri. Tidak banyak kemudahan kerusi disediakan. Keadaan ini jauh berbeza berbanding ketika berumrah dua tahun lepas melalui pesawat MAS di KLIA. Waktu itu, agensi yang dipilih adalah Tiram Travel juga.
Dalam pada itu, para jemaah dan penghantar telah ramai yang bersimpuh duduk di lapangan berhadapan dan sekitaran kaunter-kaunter, menghilangkan penat berdiri. Tidak banyak kemudahan kerusi disediakan. Keadaan ini jauh berbeza berbanding ketika berumrah dua tahun lepas melalui pesawat MAS di KLIA. Waktu itu, agensi yang dipilih adalah Tiram Travel juga.
Lebih kurang pukul tiga pagi kami sudah mulai memasuki ruangan berlepas. Kaunter ‘autogate’ Imigresen dilalui lancar. Hampir semua jemaah mengheret beg tangan masing-masing. Yang di tangan kami, semuanya ringan-ringan, tanpa berisi pun. Perjalanan untuk tiba di dewan menunggu Q4 agak jauh, berliku dan bertukar aras. Beransur-ansur dewan menjadi penuh. Kuperhatikan, sekumpulan jemaah dari Indonesia hadir sama. Pada sebahagian pakaian mereka tertulis perkataan Palembang. Tentulah KLIA2 menjadi transit mereka.
Selepas beberapa ketika duduk-duduk menunggu penerbangan, anak-anak kapal Air Asia D7 700 tiba mengheret beg masing-masing. Pramugara dan pramugari memakai uniform berwarna merah. Yang wanita bertelekung serta berseluar panjang. Mereka lincah melangkah ke arah lorong menuju pesawat yang sedia menunggu. Tidak lama kemudian panggilan untuk memasuki pesawat dilaungkan. Semua jemaah segera beratur panjang. Masing-masing memegang passport dan tiket pesawat mengensot mara.
Setiba di tempat duduk bagasi tangan diletakkan di ruang kabin yang tersedia di atas tempat duduk. Aku mendapat tempat duduk bernombor 29B, Abang Mie bernombor 29C dan R bernombor 29D. Di sebelahku ialah tempat duduk bernombor 29A. Di sisinya, di luar, terpasang sayap kiri pesawat Airbus itu.

No comments:
Post a Comment