Wednesday, 22 May 2019

Umrah 2019 (5): Saie

Umrah 2019 (5): Saie
Dari pinggiran Dataran Kaabah, tempat permulaan rukun Saie di Bukit Safa kuanggar 100 meter jauhnya. Laluan yang disediakan agak luas dan beransur-ansur mendaki. Tetapi lantainya berubin ukuran kecil lagi keras dan terasa menikam tapak kaki. Dengan berhemah, rasa senak memijaknya dapat digagahi sehingga tiba di kaki Bukit Safa.
Waktu bersaie itu jam kukira lebih kurang 11.30 malam. Di tempat itu telah ramai para pensaie. Mereka berdiri menghadap ke arah Kaabah, berniat, bertakbir dan berdoa Saie sambil melambaikan tangan. Kami melakukan yang sama. Semua teks yang dibacakan berpandukan risalah terbitan Tabung Haji yang ada di tangan.
Berbanding dengan rukun tawaf, terasa bersaie lebih santai, tenang dan selesa. Di ruang saie terletak di aras bawah ini para jemaah berduyun-duyun, tidak berputusan. Seakan berpestaan pula. Namun, kita lebih terbuka memilih tempo pergerakan yang disukai. Aku mengambil ingatan tingkah langkahan R, dan ia menjadi ukuran memimpin tempo kami – Aku, R dan Abang Mie. Ternyata tempo ini adalah tempo yang pilihan. Hampir semua pensaie lain sama ada yang bergerombolan atau berkelompok kecil, memintas kami. Langkahan mereka lebih cepat dan tergesa.
Doa-doa yang ada dalam risalah yang dibawa kubaca. Tidak memadai dengannya, salawat dan seumpamanya aku lafazkan. Sengaja kubiarkan R memilih temponya. Kerana itu dia sentiasa sedikit di belakang sampai sepuluh belasan langkah. Aku pasti R menghayati rukun itu kerana risalah yang di tangannya menjadi sumber bacaannya. Dia tidak putus-putus berdoa. Aku sendiri, tidak pernah terlupa berlari-lari anak apabila tiba pada kawasan bertanda hijau. Kisah Siti Hajar menghimbau. Betapa mengharukan. Terasing di gurun bertahun-tahun.
Keasyikan bersaie dalam gemaan yang menyelubungi ruang tidak pula sampai melupakanku pada apa yang berlaku di sekeliling. Aku melihat pasukan umrah/saie yang terancang, terutama dari Indonesia dan juga benua kecil India, dan satu dua rombongan dari pelusuk dunia yang lain. Mereka bergerak serentak, lazimnya ‘beruniform sama’, beridentiti, tidak berpecah, bahkan menghadang pihak lain memasuki perarakan mereka. Sambil itu, mutawif mengetuai bacaan doa dengan diikuti nyaring dan setia oleh jemaahnya. Kombinasi laungan doa itu menguasai ruangan malah memeriahkan suasana. Pada ketika-ketikanya doa yang mereka baca, kuikuti sama sehingga kumpulan itu memintas cepat di hadapan meninggalkanku jauh.
Sehubungan ini, aku teringat bersaie ketika berumrah pada tahun 2017. Satu pasukan saie, yang aku agak dari Mesir, juga lancar bergerak, dan memintasiku. Kumpulan ini berdoa merdu dan nyaring diketuai seorang pensaie, yang begitu lunak suaranya. Sebiji-sebiji dilaungkan: Rabbana- Atina-Fiddunia hasanah-wafil akhirati hasanah-wakina azab bannar-.....” diikuti oleh jemaah dalam kumpulannya. Dua tahun kemudian laungan ini masih mengesankan. Aku tetap ingat dan sangat mahu mendengarkannya lagi...!
Dari Safa ke Marwah berulang-kali. Ketika telah selesai dua pusingan kami terserempak dengan pasukan mutawif kami yang terpecah ketika bertawaf tadi. Mereka baharu hendak memulakan pusingan pertama.
Ketika selesai pusingan keenam di Bukit Safa, disedari para pensaie kian ramai membanjiri. Ruang tempat memulakan pusingan kian menyesakkan. Tiba-tiba didapati Abang Mie tiada lagi. Seketika aku dan R, berhenti mencari-cari. Ternyata kelibat Abang Mie lenyap.
Kami memutuskan meneruskan pusingan terakhir. Pusingan ketujuh terhenti di Bukit Marwah. Kami berdoa tamat Saie. Di situ kami bertahlul sambil membaca doanya. Aku memang membawa gunting kecil sendiri. Seorang pemuda Indonesia kuminta bantuan menggunting sedikit rambutku. Dia baharu sahaja bertahlul sendiri di situ. Dengan gunting itu juga R bertahlul. Ia melakukannya sendiri.
Memang pun ramai kelihatan penggunting remaja tempatan yang mencari-cari rezeki di situ. Mereka sentiasa mengacu-acukan gunting kecil mereka ke arah pensaie, aku termasuk. Tentulah ada kosnya. Namun, kami mengelakkan diri.
Alhamdulillah, umrah pertama sesi ini selesai dikerjakan. Terbebaslah kini segala pantang larang berihram yang mengikat semenjak kami turun dari rumah dengan pakaian itu. Atau, semenjak kami memasang niatnya. Akhirnya, kami mengambil ruang di pinggiran kemuncak Bukit Marwah itu lalu mendirikan solat sunat Saie.
Kami tetap meninjau-ninjau Abang Mie. Berpuas hati kelibatnya tidak akan muncul, kami mulai meninggalkan Bukit Marwah menuju Bukit Safa. Di hati berdoa semoga Abang Mie menjelma. Tiba di Bukit Safa aku minta R duduk berihat di tangga berhampiran, sambil menunggu. Aku perlu meninjau Abang Mie sekali lagi – bermakna akan ‘bersaie’ dua pusingan: dari Bukit Safa ke Bukit Marwah dan kembali semula ke tempat R sedang menunggu.
Mungkin Abang Mie masih terselit di kalangan ribuan pensaie yang sedang mengerjakan rukun itu.

No comments:

Post a Comment