Wednesday, 22 May 2019

Umrah 2019 (8): Jabal Rahmah

Umrah 2019 (8): Jabal Rahmah
Selepas solat Subuh kami menyertai jemaah lain keluar Masjidul Haram. Pintu keluar sebesar King Fahd itu pun tetap bersesak-sesakan, sekira-kira 200 meter panjangnya. Arus jemaah datang dari pelbagai arah dalam masjid ke hala yang sama. Di pintu itu jemaah bergabung satu. Semua bergerak selangkah-selangkah sambil berhati-hati supaya tidak kelihatan menghimpit. Semua orang, lelaki dan perempuan, kukira bertujuan sama. Kembali ke hotel masing-masing untuk bersarapan.
Sebaik keluar, kelihatan jemaah berbondong-bondong bersimpang siur di dataran Masjidul Haram, berhadapan dengan hotel-hotel mewah yang membanjari sepanjang dataran. Mereka dengan arah tuju masing-masing. Hebatnya masing-masing dapat mencari hala, meloloskan diri dan tidak pula berlaga sesama mereka bergerak ke hadapan! Mereka benar-benar seakan semut yang tahu berdikari, bergerak ke sana sini.
Kami balik ke bilik. Jam belum enam pagi. Restoran hanya di buka mengikut jadualnya – 6 pagi hingga 10 pagi. Lebih kurang 15 minit kemudian kami bertiga, termasuk pesara tentera, turun ke restoran. Memang waktu sepagi itu sudah ramai menuju atau berada di situ. Semuanya perlu bersarapan. Semua kelihatan ceria dan memfokusi jamuan yang tersedia. Beratur dan pilih sahaja makanan yang disukai. Tiada alasan untuk bersungut. Hidangan adalah mewah dan melimpah! Aku juga terpandang R dan dua kawan barunya datang bersarapan di situ. Mereka kelihatan telah saling mengenali lama, lagi ternyata mesra. Aku gembira kerana sebahagian tanggungjawab menemani terlerai, harap-harapnya.
Dalam itenerari pakej, pada hari ketiga, Sabtu, 13 April, kami akan berbas melawat Padang Arafah, Muzdalifah, Mina dan sekitarannya. Mereka yang ingin berumrah boleh berniat apabila rombongan singgah di Masjid Jaaranah. Selepas sarapan kami naik sekejap ke bilik hotel, menselesakan diri dan berwuduk. Dengan berpakaian ihram, aku dan Abang Mie turun ke tempat bas di jangka menunggu. Rombongan diarah berada di situ pada jam 7.30 pagi. Aku sangat memandang berat tentang waktu. Ketepatannya dijaga. Tidak mahu aspek ini menjadi sebab program kumpulan jadi tergendala.
Di aras tanah, di kaki hotel sudah ramai kumpulan lain juga menunggu bas. Para mutawif dan ‘pembantu-pembantu sukarela’ masing-masing mengumpulkan ahli-ahli rombongan pada tempat yang khusus. Apabila bas tiba mudah mereka diarah menaiki bas.
Sementera rombongan-rombongan jemaah menunggu bas, mereka sentiasa dihampiri oleh ‘wanita berpurdah’ meminta sedekah. Mereka ada kumpulan – walaupun bergerak secara seorang-seorang. Wanita-wanita ini kuperhatikan berasal dari benua kecil India, melihat wajah, perawakan dan pakaiannya. Wanita-wanita ini biasa berlegar di situ. Bahkan jelas tempat menunggu bas itu satu tempat operasi mereka yang utama. Aku sempat memperhatikan, seorang dua wanita yang belum berpurdah, tetapi sebaik akan memulakan operasi, akan menutup sebahagian muka, dari hidung ke bawah, meninggalkan sedikit bahagian dahi dan mata terbuka.
Kumpulan wanita peminta ini termasuk juga kanak-kanak, kebanyakan perempuan, yang berpakaian yang serupa.
Dalam pada itu aku perhatikan R tergerak hati untuk bersedekah. Dia jelas belum mempunyai wang yang bernilai kecil, paling kecil SR100.00. Wanita peminta itu tahu hasrat R, dan seakan berunding agar R menyerahkan wang bernilai besar itu dan dia bersedia memulangkan baki sewajarnya. Aku sendiri melihat wanita ini mengeluarkan wang ‘cucur’ sebagai insentif kepada R meneruskan. Namun, dua pekedai berdekatan yang memperhatikan peristiwa itu mendesak disamping memberi isyarat supaya R tidak berbuat begitu. Mereka malah menghamburkan kata-kata ke arah wanita itu yang difahami bermaksud ‘haram’ wanita tersebut mengutip wang secara tidak ikhlas – bukan kerana keperluan mendesak tetapi bermotif kepentingan tertentu. Mereka - pekedai dan wanita peminta itu - bertengkar.
R tidak jadi meneruskan maksud asalnya, sungguhpun SR100 sudah tersedia di tangannya. Yang aku jadi percaya wanita ini termasuk dalam sindiket operasi mengutip sedekah, apabila melihatnya mempunyai wang yang banyak dikeluarkan dari dalam jubah yang dipakainya. Wang ‘cucur’ yang hendak diberikan sebagai pulangan menerima sedekah R dalam mata wang SR100 meyakinkanku kumpulan wanita peminta-peminta ini beroleh pendapatan yang lumayan daripada kegiatan tersebut.
Memang kegiatan itu haram. Aku melihat kumpulan wanita itu bertempiaran lari menyelamatkan diri ke satu hala di hujung bangunan hotel. Dari tanggapanku tentu mereka bertindak demikian setelah menyedari pihak berkuasa sedang melakukan operasi mencegah! Kalau tertangkap resiko buruk tentu menimpa mereka.
Lebih kurang pukul 8.15 pagi, ahli-ahli rombongan menaiki bas. Aku duduk bersama-sama Abang Mie dan R bersama-sama kenalan baru sebiliknya. Turut sama menyertai rombongan kami ialah seorang ‘ustaz’ yang dijemput oleh mutawif. Dia sebenarnya seorang pelajar di Mekah berasal dari Kedah. Masih muda. Aku telah bersalam dengan dia ketika masih di bawah ketika menunggu bas tadi.
Ustaz memberitahu dia akan memberi penjelasan mengenai tempat-tempat yang bakal dilawati. Sementara itu dia menyentuh tentang kumpulan wanita peminta tadi, yang dikatakan sebenarnya dimiliki sindiket. Wanita-wanita itu datang ke Mekah sebagai jemaah juga. Kutipan yang diterima akan diserahkan kepada ketuanya. Tidak salah bersedekah asalkan kena pada tempat dan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan, kata beliau.
Bas merah yang kami naiki menuju lokasi-lokasi utama ibadat Haji – berwukuf, melontar jumrah. Kami melalui Arafah, Muzdalifah, Mina,Muassem. Sampai di Jabal Rahmah bas berhenti. Sudah banyak bas-bas rombongan lain berada di situ. Dari tempat kami turun pun kelihatan ramai jemaah di Jabal Rahmah – di kaki, di tengah dan di puncaknya.
Ustaz tidak menggalakkan jemaah melakukan khurafat, mempercayai doa-doa adalah mustajab dan dimakbulkan disitu. Katanya, doa pada Hari Arafah adalah sangat diberkati. Ia boleh dilakukan di mana-mana di Padang Arafah. Bukan hanya terhad di Jabal Rahmah. Semua jemaah haji seharusnya tidak mengabaikan saranan itu. Namun, doa di Jabal Rahmah dan di tempat lain di Padang Arafah, selain pada Hari Arafah, tiadalah mempunyai signifikan berbanding tempat-tempat yang lain. Meyakini selainnya, iaitu tentang mustajabnya, seperti yang luas tersebar dan dipercayai di kalangan masyarakat kita, adalah tidak berasas. Ia berunsur khurafat. Jauhilah mengamalkannya. Aku sependapat dengan beliau.
Ahli rombongan semua turun meninggalkan bas. Tapi kami tidak menuju bukit tersohor itu. Kami hanya sekadar memandang Jabal Rahmah dari jauh. Mutawif meminta ahli-ahli rombongan bergambar beramai-ramai di dataran berlatarbelakangkan Jabal Rahmah sebagai kenang-kenangan. Aku, R dan Abang Mie pun bergambar sesama kami dalam beberapa posing.
Cuaca panas dan tidak selesa untuk berlama-lamaan di situ. Jemaah beransur-ansur menaiki bas. Sebahagian jemaah ke bilik air yang ada berhampiran dan sebahagian mengambil wuduk pada tempat yang disediakan. Abang Mie pun begitu. Sebahagian jemaah belum lagi memakai pakaian ihram.
Apabila semua ahli rombongan berada dalam bas drebar kami, kini dalam pakaian ihram, mula menjaja. Dia berbangsa Mesir dan pandai berbahasa Melayu. Dari tempat duduk depan hingga ke belakang bas dipromonya dagangannya: Serbuk Kurma dan Minyak Zaitun. Bagaikan tertekan swic membeli, ramai ahli rombongan teransang – lelaki dan perempuan. Tidak menyempat-nyempat lagi. Seakan telah begitu lama tertekan nafsu itu. Barangan tersebut dijual dengan harga SR10 setiap satu. Tersengeh-sengeh riang berpanjangan drebar bas itu menyerahkan jualan dan sambil menerima wang bayaran. Aku mendapat impresi seakan sambutan itu di luar jangkaannya. Setengah-setengah jemaah membeli lebih daripada satu, bahkan berganda-ganda. Sekejap sahaja barangan itu kehabisan.
Drebar berjanji akan mendapatkan bekalan tambahan kemudian. Dia akan menghubungi kawan atau sumbernya. Dia perlu menghentikan urus niaga kerana bas perlu bergerak ke lokasi lawatan yang lain.
Kami melalui kawasan masjid di Mina, tempat melontar jumrah, Muassem dan lain-lain. Ternyata di kalangan jemaah bahawa tempat untuk jemaah haji Malaysia pada musim haji di Muassem itu jauh daripada tempat melontar jumrah. Berkilometer perjalanan berulang-alik perlu dilakukan setiap hari – antara khemah dengan jumrah. Jelas tergambar cabaran getirnya. Namun ustaz memberitahu, jemaah yang kaya dan membayar harga pakej yang mahal ditempatkan di hotel yang berdekatan. Untuk melontar mereka hanya beberapa minit berjalan kaki.
Ustaz terus menyambung ceramah beliau, terutama tentang ibadat haji, tentang hari-hari tasyriq, bilangan lontaran batu, nafar awal dan yang berkaitan. Dengan lancar, jelas berisi dan benar-benar kuakui profesional. Bernas – sama ada bersumberkan Al-Quran dan hadis, kata orang di ‘hujung lidah’. Mungkin ia telah kerap dijemput begitu. Dia seorang pelajar muda yang berwibawa. Dia kelak boleh balik ke Malaysia dan bakal menyaingi para daie yang sedang menempa nama sekarang.

No comments:

Post a Comment