Umrah 2019 (19): ASADIku hilang
Satu objek penting yang perlu dipakai ketika berumrah ialah selipar. Ia seharusnya mengikut piawai – tidak menutup kaki termasuk jari-jarinya. Ketika berumrah pada tahun 2017, aku telah membeli sepasang selipar berjenama ASADI, berharga RM18 di Pekan Sungai Way. Ia amatlah ringan. Selipar ini berjaya melaksanakan tugasnya, membawaku ke sana-sini berumrah dan berziarah di Mekah dan Madinah.
Selipar sangat penting di kedua-dua Kota Suci itu. Semua jemaah umrah atau masjid menggunakannya. Barangkali ia suatu yang paling menonjol dibawa ke sini-sana oleh para jemaah. Di luar Masjidul Haram atau Masjid Nabawiah kita menggunakan selipar mengalas kaki berjalan ke sana sini. Ia sangat praktikal – mudah disarung dengan pantas – dan selesa dipakai walaupun berjubah.
Di dalam masjid, jemaah tidak boleh berselipar. Perlu berkaki ayam atau menggunakan sejenis sarung kaki yang khusus.
Selipar sangat perlu dijaga – dipastikan tidak hilang. Ia seharusnya sentiasa boleh dicapai dengan mudah supaya tidak tergendala bergerak di mana-mana apabila pemakaiannya dikehendaki.
Aku, R dan Abang Mie mendisiplinkan diri menjaga selipar supaya tidak hilang. Kami menyediakan sarung kain buatan sendiri untuk maksud ini. R sendiri yang menjahitnya di rumah. Sarung selipar yang kami gunakan ketika berumrah tahun 2019 ini bukan baru. Ia telah dijahit oleh R pada tahun 2017 ketika hendak berumrah pada tahun berkenaan. Ketika selesai berumrah sarung selipar itu tetap disimpan dengan baik. Aku dan Abang Mie membawa semula sarung itu semasa berumrah tahun 2019 ini.
Seperti diceritakan lebih awal, urusan penempatan bilik hotel di Mekah tidak lancar. Ahli-ahli rombongan terpaksa mengongsi di surau hotel untuk beberapa jam sementara masalah bilik hotel diuruskan oleh mutawif. Selain daripada ‘berehat’, di surau itu juga kami bersolat. Surau itu besar dan boleh menampung kira-kira 1,000 jemaah.
Apabila waktu solat tiba, dalam kes ini, Zuhur dan Asar, ramai jemaah yang bersolat di situ. Sebahagian jemaah meletakkan selipar mereka di rak-rak yang disediakan, tetapi sebahagian besar meletakkannya di ruang lobi lif surau itu. Maka banyaklah selipar mereka memenuhi sebahagian besar lobi itu, ketika solat berlangsung.
Aku dan Abang Mie meletakkan selipar kami pada penjuru di salah satu lobi lif, bertindan, supaya mudah untuk dicamkan bila hendak mengambilnya semula. Dalam melakukan demikian, aku sentiasa terfikir tentang keselamatannya. Ini kerana sarung selipar yang kami bawa masih belum digunakan. Sarung-sarung itu ada dalam beg besar yang ditinggakan di tempat kami turun daripada bas, ketika diminta naik ke hotel oleh mutawif. Kami diberitahu semua bagasi jemaah akan dihantar ke lobi lif tertentu apabila bilik telah ditentukan. Pekerja-pekerja hotel akan mengendalikannya.
Ketika hendak mengambil semula selipar, sebaik selesai solat Asar, didapati selipar ASADIku sudah tiada lagi. Tinggal hanya selipar Abang Mie tidak terusik. Puas aku meneliti selipar-selipar lain yang masih ada di lobi lif itu. Kalau ada yang sama atau hampir serupa, bukan ASADI capnya. Ternyata ASADI sudah tiada di situ. Terasa amat malang sekali. Salah satu perkara yang semenjak awal-awal hendak dijaga sudah gagal dijaga dalam beberapa jam tiba di Tanah Suci. Sedikit kesalan menjentik diri.
Aku memberitahu Abang Mie supaya meletakkan seliparnya di rak selipar supaya lebih selamat. Dia kuminta terus mengongsi di surau. Bilik menginap belum menentu. Melalui mutawif aku mendapat tahu bagasi ahli-ahli rombongan telah dipindahkan di lobi lif, Tingkat 10 hotel berkenaan. Dengan berkaki ayam aku pergi mencari bagasi kami dan mengambil sepasang selipar simpanan berserta sarung kain yang memang ada di dalamnya.
Selipar baru ini, BIRKENSTOCK, seakan sama dengan ASADI, kubeli di Kok Lanas, khusus untuk persediaan menghadapi situasi demikian. Ia sudah memberi khidmatnya pada hari pertama tiba di Mekah. Tidaklah aku perlu membeli ganti ASADI di situ. Pengalaman membuktikan harga selipar yang setanding lebih mahal di Mekah atau Madinah berbanding di Malaysia.
Selipar baru ini sentiasa bersama-samaku. Kalau dalam masjid bersolat ia disarungkan dan diletakkan di sisi atau berhampiran. Cara ini menjamin keselamatannya. Ia telah dipraktikkan, ketika berhaji dan berumrah sebelum ini pun. Abang Mie juga melakukan seperti yang kulakukan. Seliparnya selamat. Selipar simpanannya tidak perlu digunakan dan tetap tersimpan dalam bagasi sehingga kembali semula di tanah air.
Selipar ASADIku itu ‘bersejarah’. Aku pernah menceritakan tentangnya dalam siri tulisan tentang Umrah 2017 dahulu. Ia ditakdirkan hilang dalam ‘misi’ Umrah 2019.
Tetapi, pada hari terakhir di Mekah, selepas bertawaf Wadak, kami kembali di hotel sementara menunggu bas datang untuk bertolak ke Madinah. Semua ahli rombongan kami bersolat Zuhur di surau hotel. Ketika selesai solat dan mulai akan menuju ke restoran untuk makan tengah hari, aku tetap meninjau ASADI di tempat ia menghilang beberapa hari lepas. Dan selipar itu muncul di situ, masih lembab kerana baharu dibasahi. Cap ASADInya menyata.
Aku merenung, kemudian memegang, dan memeriksa tanda-tanda tertentu padanya. Berat benar hati bahawa berdasarkan tanda-tanda tersebut ia adalah ASADIku yang hilang – saiz, usia, warnanya saling tidak tumpah lagi. Namun, tidak tergamak untuk mengambilnya semula. Selipar simpanan, BIRKENSTOCK, sudah terpakai di kaki.
Biarlah ASADI ini hilang di sini. Dan, kalaulah ia bukan bekas seliparku, apakah kelak tekanan minda kuhadapi, jika ASADI Tanah Suci ini kubawa pulang? Lalu, aku memfotonya.

No comments:
Post a Comment