Umrah 2019 (12): Majlis Halaqah
Selepas solat Maghrib (masuk pukul 6.38 malam), aku dan Abang Mie balik ke hotel kerana makan malam di restoran. Mulanya aku kurang pasti masa makan malam yang ditentukan. Maklumat WhatsApp mutawif gagal dicapai melalui telefon sedangkan aku tahu beliau ada memaklumkannya. Bimbang terlepas habuan, waktu puncak makan malam ini tidak mahu terlepas. Padahalnya, yang lebih selesa ialah tetap berada di masjid menunggu solat Isya’ sambil beramal sewajarnya dalam masa yang terluang itu. Semasa kedatangan umrah dahulu, dan ketika berhaji pun, demikian yang kulakukan. Suatu rutin yang praktikal dan tepat. Seharusnya dikekalkan.
Aku mendapatkan pengesahan tentang waktu makan ini. Didapati waktunya bermula pada 6.30 petang dan berakhir pada pukul 10 malam. Sangat munasabah. Pastilah diaturkan begitu demi memberi ruang untuk jemaah beramal di masjid dengan tenang dan selesa.
Semasa makan kutanyakan Abang Mie sama ada akan ke masjid semula untuk bersolat Isya’. Dia menyatakan tidak. Akupun faham dan tidak keberatan. Mungkin dia keletihan! Biarlah dia menentukan pilihan sendiri.
Sebaik selesai makan aku bergegas ke masjid, masuk melalui pintu 92, aras bawah dan mengambil ruang solat berpermaidani 15 meter dari pintu itu. Di sini ruangan masih rua. Tempat bersolat tersedia di sebahagian besarnya. Ketika itu ternampak seorang guru yang agak berumur tenang dan bersahaja menyampaikan ceramah. Beliau duduk di atas kerusi besar di tengah-tengah ruang dikelilingi para jemaah yang mendengar.
Ruang ceramah itu agak strategik kedudukannya. Di atas, bersetentangan kepala guru itu ada ruang kubah yang berhias cantik. Dia menggunakan bahasa Urdu/Hindi dan memang pun para pendengar terdiri daripada mereka yang datang dari Pakistan atau India. Wajah-wajah dan pakaian mereka tidak bersalahan lagi. Jemaah lain berhampiran yang tidak memahami bahasa itu melakukan kegiatan masing-masing. Ada yang membaca Al-Quran, berbual-bual sesama kenalan, atau berihat-rihat sambil bersandar di umbi-umbi tiang, memanfaati masa yang ada.
Aku lebih memperhatikan, melihat-lihat, dan kadang-kadang berzikir santai. Suasana demikian itu sungguh menyeronokkan. Teringat pembacaan peribadi, bahawa semenjak sekian lama Masjidul Haram adalah tempat guru-guru mengajar ilmu agama dan para jemaah dari seluruh pelusuk dunia Islam meraih faedah daripadanya. Kegiatan ini sudah menjadi tradisi berharga. Ia subur berterusan sampai kini.
Apabila azan Isya’ bergema (7.41 malam), ceramah ditangguhkan. Sebahagian jemaah bersolat sunat. Guru tadi menyambung ceramahnya. Beliau berhenti ketika iqamat dilaungkan.
Aku kembali ke bilik hotel selepas menyelesaikan solat sunat selepas Isya’. Semua ahli bilik terlentang di katil masing-masing. Lampu bilik dipasang selektif. Ruangan sedikit samar. Abang Mie belum tidur. Kuperingatkan beliau agar bangun seperti biasa, untuk ke Masjidul Haram bersolat Subuh nanti.
Dalam bilik, kami tidak banyak berbual kosong. Sekadar perlu bertujuan muhibah dan saling menghormati. Masing-masing tahu memilih perkara-perkara bualan, kerapnya ringan-ringan. Kami lebih mengetahui keutamaan ketika itu.
Tidur awal, untuk bangun awal lebih disukai. Pun, di kalangan kami ada keunikan – berdengkur, tidur-tidur ayam, bangun malam untuk ke bilik air dan lain-lain. Sebenarnya, tidur kami tidaklah selena mana!

No comments:
Post a Comment