Sunday, 5 June 2016

(Fragmen Memoir - Tak jadi (3), sambungan)

(Fragmen Memoir - Tak jadi (3), sambungan)
Aku sebenarnya seorang perahsia yang ‘hebat’. Ini cop yang aku sendiri isytiharkan senyap-senyap memerikan amalan peribadi. Ia bukan dimasyhurkan secara rasmi oleh mana-mana pihak. Sifat ini tertanam teguh kerana dididik pengalaman. Sekian lama aku banyak mengendalikan perkara-perkara sulit dan rahsia. Aku telah masak terlatih dan memahami implikasi sesuatu tindakan. Perkara-perkara seperti tatatertib, kenaikan pangkat, rayuan kenaikan pangkat, semakan skim perkhidmatan dan lain-lain bukan perkara biasa. Ia sama sekali tidak harus diperemehkan. Ribuan pegawai terbabit. Kerahsiaan wajib dijaga demi mengelakkan ketegangan, kelam-kabut atau kehebohan dalam perkhidmatan. Itulah sebabnya walaupun aku diberitahu ura-ura pertukaran, berita itu hanya tersimpan di benakku sendiri. Dan, kukira, tentulah juga demikian di hati pegawai urusetia yang mengkhabarkannya kepadaku, dengan tujuan murni itu. Sama ada perkara sensitif dan rahsia itu melibatkanku atau orang lain, selagi belum jadi rasmi atau muktamad, akulah orang terakhir yang bakal meuaruarkan. Itu pasti. Reputasiku tidak tercalar langsung. Sesiapa pun boleh berdiam lega kerana rahsia rasmi tetap terjamin jika aku yang bertanggungjawab mengendalikannya. Ketenangan tidak akan terkocak berpangkal daripadaku.

No comments:

Post a Comment